Kementerian Kesihatan M'sia pantau penyakit bawaan air angkara banjir
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa (Gambar: BERNAMA)
MELAKA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau sebarang penyakit bawaan air terutama kencing tikus (leptospirosis) dan keracunan makanan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata dua penyakit tersebut sering berlaku terutama selepas banjir melanda sesebuah kawasan.
“Kita juga akan menggerakkan pasukan lain (pasukan kesihatan) untuk aktiviti pembersihan terutama di kemudahan kesihatan yang terjejas dengan bencana tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan 'Nursing Professional Group (NPG) International Nursing Conference 2023' bertemakan 'Invest in Nursing: Then, Now and What's to Come' di Melaka pada Ahad (5 Mac).
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketika berlaku banjir terutama dalam menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata antara perkara dilakukan termasuk melaksanakan aktiviti semburan untuk mengelak penyakit berjangkit selain membuka klinik bergerak bagi menyediakan rawatan segera kepada mangsa banjir yang sakit.
Menteri itu menambah KKM juga masih melakukan saringan COVID-19 ke atas mangsa banjir yang berpindah ke PPS.
Keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi Ahad.
Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti oleh Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.