Skip to main content

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia batalkan notifikasi 6 produk kosmetik dengan racun berjadual

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia batalkan notifikasi 6 produk kosmetik dengan racun berjadual

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Mar 2023 01:15PM
KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi enam produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk berkenaan ialah Flashhskinzz Moist Sunscreen, Serene Treatment Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin dan Karisma Preventing Day Cream, yang masing-masing mengandungi merkuri.

Selain itu, dua lagi produk kosmetik yang terlibat ialah SL Two Kunyit yang mengandungi merkuri dan Betamethasone 17- Valerate dan SL Two Sarang Burung (Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate).

Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin. 

Bagi produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate, Dr Noor Hisham berkata produk itu ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini (22 Mac).

Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko barah kulit.

Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 (S$7,480) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 (S$14,950) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 (S$29,900) untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Noor Hisham menyarankan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita