Skip to main content

Dunia

Kementerian Kesihatan Malaysia siap sedia hadapi lonjakan kes luar jangka influenza

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan Malaysia siap sedia hadapi lonjakan kes luar jangka influenza

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Oct 2025 09:14AM Dikemas Kini : 17 Oct 2025 09:16AM
KUALA LUMPUR: Semua kemudahan dan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersiap sedia sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka melibatkan penularan influenza, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Jabatan Kecemasan dan Trauma (A&E) di semua hospital KKM sudah melaksanakan pengasingan laluan bagi pesakit penyakit berjangkit dan tidak berjangkit bagi mengelakkan penularan dalam kalangan pesakit, serta mencegah berlakunya jangkitan yang diperoleh di hospital.

KKM juga mengaktifkan Pelan Bencana Hospital, termasuk penubuhan zon bencana dengan menyediakan lebih banyak katil tambahan serta pengerahan petugas secara dalaman sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka.

“Langkah ini adalah tindakan pencegahan dan proaktif, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes secara mendadak. Namun, kita berharap situasi berkenaan tidak akan berlaku,” katanya semasa sidang media di Bangunan Parlimen, pada Khamis (16 Okt).

Sementara itu, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Dr Dzulkefly menjelaskan tiada vaksin khusus dan universal bagi influenza dibangunkan berikutan virus berkenaan mengalami proses mutasi dengan sangat kerap.
Beliau berkata setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) akan menjalankan aktiviti pemantauan bagi menentukan strain dominan bagi tahun berkenaan dan vaksin baharu akan dibangunkan, lazimnya dalam bentuk vaksin kuadrivalen yang merangkumi beberapa jenis virus influenza sekali gus.

Bagi ujian pengesanan influenza, Dr Dzulkelfy berkata KKM tidak menjalankan ujian makmal secara rutin bagi semua kes Influenza-Like Illness (ILI) atau penyakit seakan influenza berikutan majoriti kes membabitkan gejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal.

“Diagnosis klinikal sudah memadai berdasarkan simptom atau tanda-tanda yang ditunjukkan pesakit, dan ujian makmal tidak akan mengubah bentuk rawatan yang diberikan. Justeru, diagnosis klinikal tidak memerlukan pengesahan makmal.

“Bagi pesakit yang berisiko tinggi, termasuk warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, serta individu yang menunjukkan gejala lebih serius, rawatan akan diberikan sewajarnya serta profilaksis atau ubat antiviral,” katanya.
 
Sumber : Bernama/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita