Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia puas hati dengan pematuhan SOP PRN Melaka

"Namun malangnya ada juga yang tidak patuh (SOP Pilihan Raya Negeri Melaka) ,seperti pemimpin dan ahli politik," kata Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan M'sia puas hati dengan pematuhan SOP PRN Melaka

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 04:25PM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 04:36PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata menterinya Khairy Jamaluddin. 

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan agar rakyat turut mematuhi SOP yang dikeluarkan.

“Secara keseluruhan, KKM melihat pematuhan SOP adalah baik namun malangnya ada juga yang tidak patuh seperti pemimpin dan ahli politik. Sepatutnya mereka (pemimpin dan ahli politik) menunjukkan teladan yang baik.

“Sepatutnya mereka ini lebih memahami dan mungkin apabila ke lapangan, minta kurangkan pegawai pengiring. Apabila terlalu ramai orang yang mengiringi seseorang pemimpin itu, susah untuk menjaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini (11 Nov).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, menyentuh tentang kira-kira 40 peratus individu yang tidak hadir selepas menerima janji temu vaksinasi dos penggalak COVID-19, Encik Khairy berkata KKM akan meningkatkan komunikasi untuk memastikan kesemua penerima janji temu dos itu hadir menerima suntikan. 

Beliau berkata bukti bahawa dos penggalak itu selamat digunakan akan dimaklumkan kepada individu terbabit terutamanya bagi melindungi orang ramai daripada ancaman virus COVID-19. 

“Kita akan pastikan mereka yang dah terima janji temu booster (dos penggalak) dapat menepati janji temu yang diberikan. Kita akan tunjukkan bukti bahawa ia selamat dan sangat digalakkan untuk melindungi terutamanya orang tua daripada kesan buruk virus,” katanya. 

Beliau memaklumkan peratusan itu menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam dan berkata jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan