Kementerian Kesihatan M'sia mungkin kawal harga ubat-ubatan
Kementerian Kesihatan akan meneliti mekanisme bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran, kata Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye.

Gambar fail ubat.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan meneliti mekanisme bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran, kata Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata usaha itu diambil berikutan harga ubat-ubatan dalam pasaran kian meningkat setiap tahun dan dikhuatiri menjejas kemampuan penjagaan kesihatan untuk rakyat.
“Harga ubat-ubatan tidak tersenarai dalam harga barang terkawal dan ia didapati melambung tinggi setiap tahun.
“Kita akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menyegerakan perkara ini. Namun terdapat banyak aspek dan faktor yang perlu diteliti dan diambil kira terlebih dahulu,” katanya.
Dr Lee berkata kementerian juga sedang mengkaji mekanisme bagi mempertingkat sistem bekalan ubat di hospital kerajaan dan pasaran bagi memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi.
“Isu bekalan dan logistik ubat berkaitan juga dengan pemegang tender. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku berkaitan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata antara aspek yang akan dinaik taraf bagi memastikan bekalan ubat mencukupi ialah penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih canggih untuk proses rekod yang lebih cekap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.