Skip to main content

Dunia

Kementerian Kerja Raya Malaysia semak semula lokasi berisiko tinggi lintasan hidupan liar

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kerja Raya Malaysia semak semula lokasi berisiko tinggi lintasan hidupan liar

Seekor gajah melintasi jalan di Malaysia. (Gambar: Petikan skrin video TikTok/arifadalila_)

Diterbitkan : 14 May 2025 08:30AM Dikemas Kini : 14 May 2025 08:33AM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengarahkan semakan semula dilakukan terhadap semua kawasan berisiko tinggi lintasan hidupan liar di seluruh negara supaya tindakan lanjut boleh diambil, lapor BH Online.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata ini termasuk menimbangkan penggunaan teknologi dalam pemasangan kemudahan tambahan seperti sensor pergerakan haiwan.

Menurut beliau, ini sebagai tambahan kepada langkah sedia ada termasuk penyediaan kemudahan laluan khas bagi hidupan liar melintas untuk memudahkan migrasi haiwan serta mengelak sebarang kecelakaan membabitkan pengguna jalan raya.

"Saya amat sedih dan terkilan dengan insiden tular baru-baru ini membabitkan seekor anak gajah yang mati dilanggar di jalan raya.

"Insiden seperti ini bukan sahaja menyayat hati, tetapi juga mengingatkan kita akan kepentingan menyeimbangkan pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan alam sekitar dan hidupan liar.

"Sebagai Menteri Kerja Raya, saya ingin menegaskan keselamatan pengguna jalan raya dan perlindungan hidupan liar sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap projek pembangunan jalan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi pelaksana seperti JKR dan syarikat konsesi lebuh raya," katanya, seperti dinukil BH Online.

Mengulas tindakan sudah diambil, Encik Alexander berkata ia termasuk penyediaan 'eco-viaducts' (jambatan hijau) dan 'underpass tunnels' (terowong lintasan bawah tanah) di lokasi 'panas' dikenal pasti sebagai laluan migrasi hidupan liar seperti gajah.

Beliau menarik perhatian kepada lima kawasan yang sudah dilengkapi kemudahan itu adalah:

1. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) - Lebuh raya ini mempunyai beberapa lintasan bawah tanah antara Kilometer (KM) 33 hingga 37 dan di KM39 yang direka khusus untuk pergerakan hidupan liar. Lokasi ini berdekatan Hutan Simpan Ulu Gombak, menjadikannya penting untuk hidupan liar bergerak dengan selamat.

2. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) - Di lebuh raya ini terdapat jambatan hijau di Terengganu yang berfungsi sebagai laluan selamat untuk hidupan liar melintasi lebuh raya.

3. Jalan Kuala Berang-FELDA Aring (Hulu Terengganu) - Jabatan Kerja Raya (JKR) membina tiga laluan khas hidupan liar berbentuk terowong di bawah jalan di Seksyen 66, 70 dan 73 jalan ini.

4. Central Spine Road (CSR) - Projek lebuh raya ini merangkumi pembinaan beberapa jambatan hijau, termasuk Sungai Yu Eco-Viaduct yang terpanjang dengan anggaran 900 meter. Laluan ini penting untuk menghubungkan kawasan hutan yang terpisah akibat pembangunan.

5. Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) - Di jajaran Taiping Selatan-Bruas, WCE turut membina terowong hidupan liar (underpass) sebagai laluan selamat untuk haiwan melintasi lebuh raya.

Tambah Encik Alexander, selain kemudahan jambatan hijau dan terowong lintasan bawah tanah, langkah pemasangan papan tanda amaran sering diambil khususnya seperti di Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli).

"Walaupun belum ada lintasan khusus yang meluas, kawasan ini dikenali sebagai kawasan lintasan hidupan liar dan papan tanda amaran sering dipasang.

"Pemasangan papan tanda amaran lintasan hidupan liar di kawasan berisiko, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati," katanya, seperti dipetik BH Online.

Dalam pada itu, beliau berkata KKR sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi mengenal pasti kawasan tumpuan fauna, serta melibatkan mereka dalam penilaian impak alam sekitar (EIA) sebelum sesuatu projek jalan dilaksanakan.

"Malah, sebanyak 39 lintasan gajah di seluruh negara turut dilengkapi lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi haiwan liar," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita