Skip to main content

Dunia

Kementerian Indonesia lancarkan sistem kerja 4 hari seminggu bagi tingkatkan produktiviti, kesihatan mental pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Indonesia lancarkan sistem kerja 4 hari seminggu bagi tingkatkan produktiviti, kesihatan mental pekerja

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 04:41PM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 04:42PM
JAKARTA: Kementerian Badan Usaha Milik Negara Republik Indonesia (BUMN) secara rasmi melancarkan inisiatif sistem kerja empat hari seminggu kepada para pegawai yang berminat.

Ini menyusuli kejayaan projek itu yang dirintis pada Jun tahun lalu.

Dikenali sebagai Jadual Kerja Mampat, program itu menawarkan kepada para pegawai kementerian yang perlu memenuhi syarat kerja 40 jam seminggu, pilihan untuk bekerja selama empat hari dalam seminggu.

Mereka bahkan boleh melakukan demikian sebanyak dua kali sebulan.

"Jadi jika seseorang itu bekerja 40 jam seminggu, mereka boleh pilih untuk bekerja selama empat hari dalam seminggu. Ia ditawarkan kepada mereka yang inginkannya, tetapi mereka perlu mendapatkan kelulusan," kata Timbalan Menteri bagi Pengurusan Sumber Manusia, Teknologi dan Maklumat, Tedi Bharata kepada CNN Indonesia pada Jumaat lalu (24 Jan).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bila inisiatif itu dilancarkan.

Jika syarat jam kerja mingguan sebanyak 40 jam belum dipenuhi, para pegawai perlu bekerja lima hari seminggu seperti biasa.

Pada masa ini, inisiatif itu hanya tertakluk kepada para pegawai di Kementerian BUMN dan belum lagi ditawarkan kepada firma-firma lain yang diselia oleh kementerian itu.

"Inisiatif ini masih dihadkan kepada kementerian itu," kata Encik Tedi, sambil merujuk kepada Kementerian BUMN yang diterajui oleh Erick Thohir.

Encik Tedi turut menambah, inisiatif sistem kerja empat hari seminggu itu masih dinilai untuk keberkesanannya sebelum ia kemungkinan ditawarkan kepada firma-firma lain yang diselia oleh Kementerian BUMN.

Jakarta Globe melaporkan pada November lalu bahawa terdapat 47 perusahaan milik pemerintah di Indonesia, walaupun terdapat rancangan untuk mengurangkan jumlah itu kepada 30.

Pada Mac tahun lalu, Encik Thohir berkata matlamat utama inisiatif sistem kerja empat hari seminggu adalah untuk mengurangkan tahap tekanan yang dialami oleh pekerja dan meningkatkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan.

Beliau juga menarik perhatian bahawa 70 peratus daripada generasi muda kini menghadapi cabaran kesihatan mental yang menjejas daya penghasilan mereka.
Sumber : Agensi berita/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita