Kementerian Haji Saudi terima 297,444 permohonan jemaah domestik

(Gambar: @HajMinistry/Twitter)
JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan pada Rabu (15 Jun) bahawa 297,444 pemohonan sudah dibuat untuk cabutan elektronik musim Haji 1443H/2022, terdiri daripada 62 peratus lelaki dan 38 peratus wanita, lapor Saudi Gazette.
Ia dibuka kepada rakyat Saudi dan penduduk yang tinggal secara sah di Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan media, kementerian itu menyatakan jumlah permohonan melebihi 217,000 melalui kedua-dua aplikasi Eatmarna dan portal online bagi jemaah domestik. Oleh itu, pesanan SMS akan dikirimkan kepada pemohon-pemohon yang layak untuk membuat pembayaran dalam masa 48 jam melalui kaedah pembayaran yang diterima.
Sebilangan besar pemohon, 38 peratus, berusia antara 31 hingga 40 tahun, diikuti dengan mereka yang berusia antara 21 hingga 30 tahun, iaitu sebanyak 23 peratus.
Ini juga termasuk 21 peratus pemohon yang berusia antara 41 dan 50 tahun dan 12 peratus dalam kumpulan umur 51 hingga 65 tahun.
Bilangan pemohon paling sedikit dalam kategori umur di bawah 20 tahun.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Dr. Abdul-Fattah Mashat menghadiri cabutan elektronik dan pengumuman jemaah-jemaah yang layak.
Dalam ucapannya di acara itu, beliau berkata sistem cabutan elektronik itu telah menetapkan beberapa syarat dalam proses pemilihan, yang pentingnya adalah pemohon harus berusia 65 tahun ke bawah. Selain itu, mereka juga dikehendaki mempunyai status sudah divaksin sepenuhnya di aplikasi Tawakkalna.
Beliau menarik perhatian bahawa bilangan pemohon yang tidak layak amat sedikit berbanding jumlah permohonan yang diterima. Antara sebab-sebabnya termasuk kegagalan untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan; penyerahan maklumat yang tidak sepadan dengan status pemohon dalam fail, atau kegagalan salah seorang individu daripada permohonan secara berkumpulan untuk memenuhi beberapa syarat.
Dr Masat berkata pemohon dibenarkan untuk membetulkan permohonan mereka dan menambah perkhidmatan sepanjang tempoh pendaftaran selama 10 hari yang berakhir pada 12 Jun.
Semua permohonan yang memenuhi syarat telah disahkan secara serentak selepas tamat tempoh pendaftaran dan tiada keutamaan diberi kepada mereka yang lebih dahulu membuat permohonan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.