Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Ehwal Pengguna rujuk kes siakap lebih RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan merujuk kes peniaga restoran yang menjual ikan siakap lebih RM1,000 (S$325) di Langkawi kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Ehwal Pengguna rujuk kes siakap lebih RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya

Encik Rosol Wahid. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 09:23AM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 09:24AM

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan merujuk kes peniaga restoran yang menjual ikan siakap lebih RM1,000 (S$325) di Langkawi kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid berkata demikian selepas peniaga tersebut gagal menyerahkan dokumen lengkap seperti dikehendaki selepas tamat tempoh lanjutan sehingga 17 November lalu.

Jelasnya, lapor Astro Awani, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 53(a) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal menyelenggara dan menyimpan dokumen wajar perniagaan dan kes diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Saya nasihatkan kepada peniaga-peniaga supaya menyimpan rekod... rekod-rekod pembelian, rekod proses dan sebagainya untuk memudahkan kita melakukan penyiasatan.

"Dan oleh hal tersebut, kementerian telah melancarkan satu ops iaitu Ops Menu bermula 6 November lalu dan berakhir 31 Disember ini untuk melihat, memantau harga menu makanan di setiap kedai makanan, kedai makan dan restoran di seluruh negara," katanya.

Encik Rosol berkata melalui Ops Menu, sebanyak 2,814 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dan 21 kes direkodkan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM6,400 (S$2,081).

Astro Awani menukilnya sebagai berkata bahawa daripada jumlah tersebut sebanyak 10 kes di bawah AKHAP 2011 dan 11 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Awal dari itu, tular mengenai kumpulan pelancong yang mendakwa dikenakan bayaran RM1,196.80 (S$389.30) untuk ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesan mereka.

Namun pemilik restoran menegaskan ikan itu biasanya tidak dijual, tetapi dipelihara sebagai sebahagian pertunjukan untuk tontonan pengunjung restoran.

Malah, katanya harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan