Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Dalam Negeri M'sia digesa segera naik taraf pusat tahanan imigresen

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) memohon agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyalurkan peruntukan bagi menambah baik fasiliti di depot-depot tahanan Imigresen di seluruh negara itu.

Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin berkata ini kerana terdapat depot tahanan yang dalam keadaan usang dan tidak mampu menampung jumlah tahanan yang terlalu ramai.

"KPISM juga menggesa kerajaan agar dapat mencapai satu kata putus dan langkah proaktif khas dalam pengurusan tahanan etnik Rohingya, yang mana mereka ini tidak dapat diusir keluar berikutan Myanmar tidak mengiktiraf dan tidak mahu menerima.

"Perkara itu menyebabkan berlaku kesesakan tahanan etnik Rohingya di depot-depot tahanan seluruh negara dan ini akan menimbulkan masalah di mana mereka tidak dapat dibebaskan atau diusir," katanya dalam kenyataan malam tadi (20 Apr).

Beliau berkata keadaan itu meningkatkan pelbagai risiko seperti penularan penyakit dalam depot-depot tahanan, berlaku rusuhan, peningkatan kos makan dan minum tahanan serta lain-lain.

"KPISM juga memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dapat menyediakan lebih banyak penjawatan untuk menempatkan lebih ramai kakitangan di depot-depot tahanan agar kawalan keselamatan yang lebih optimum dapat diwujudkan," katanya lagi.

KPISM juga menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan JIM dalam meningkatkan kualiti depot-depot tahanan dan bersedia bekerjasama dan memberikan pandangan dalam mencari huraian terbaik berhubung perkara berkenaan.

Sumber : Bernama/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan