Skip to main content

Dunia

Kementerian Arab Saudi siap naik taraf jalan raya & prasarana utama untuk Haji 2026

Anggaran Waktu Membaca:
 Kementerian Arab Saudi siap naik taraf jalan raya & prasarana utama untuk Haji 2026

Gambar: Satellite image ©2024 Maxar Technologies / AFP

Diterbitkan : 19 May 2026 07:44AM Dikemas Kini : 19 May 2026 07:47AM
MAKKAH: Kementerian Perbandaran dan Perumahan Arab Saudi sudah menyelesaikan semua persiapan bagi rangkaian jalan raya dan prasarana di Makkah serta tempat-tempat suci sempena musim haji, dengan menyediakan jalan raya sepanjang lebih 11 juta meter.

Pihak kementerian Saudi berjaya menyelesaikan projek itu melalui rangkaian kerja-kerja pembangunan dan pembaikan di lapangan. Langkah itu bertujuan untuk melancarkan pergerakan trafik serta meningkatkan kecekapan pergerakan di kawasan-kawasan yang padat dengan orang ramai, lapor Saudi Gazette.

Selain menyediakan lebih 11 juta meter jalan raya, pihak kementerian Saudi itu juga melakukan kerja-kerja penyenggaraan dan menaik taraf permukaan jalan raya seluas kira-kira 74 juta meter persegi.

Lebih 1.2 juta meter persegi jalan raya juga sudah diturap dengan tar baharu bagi memastikan rangkaian trafik benar-benar bersedia dan dapat menyokong kelancaran pergerakan para jemaah di Makkah serta tempat-tempat suci sepanjang musim haji kali ini, lapor Saudi Gazette.

Menurut kementerian itu lagi, pelan persediaan ini turut merangkumi pemeriksaan dan menaik taraf keselamatan bagi 123 buah jambatan dan 44 buah terowong untuk pejalan kaki dan kenderaan.

Kerja-kerja penambahbaikan prasarana ini dihubungkan terus dengan laluan trafik utama, sekali gus menyumbang kepada keselamatan jalan raya yang lebih baik dan pergerakan yang lebih cekap di kawasan-kawasan penting serta di sekitar tempat suci tempat ibadah haji.

Pihak kementerian itu turut menegaskan bahawa segala usaha ini adalah sebahagian daripada sistem operasi bersepadu, lapor Saudi Gazette.

Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kecekapan kemudahan prasarana bandar, melancarkan aliran trafik, serta mengurangkan kawasan-kawasan yang kerap berlaku kesesakan teruk semasa musim haji yang padat dengan jutaan umat Islam dari merata dunia.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita