Skip to main content

Dunia

Kemboja tuduh serangan udara Thailand guna gas beracun

Beberapa anggota tentera dan polis Kemboja yang dirawat di hospital di Banteay Meanchey, barat laut Kemboja berdepan masalah pernafasan berikutan serangan udara tentera Thailand.
Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja tuduh serangan udara Thailand guna gas beracun
Anggota tentera Kemboja yang cedera dipindahkan dari barisan hadapan dan dirawat di Hospital Rujukan Ou Chrov, di daerah Ou Chrov, Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 18 Dec 2025 02:35PM
OU CHROV: Beberapa anggota tentera dan polis Kemboja yang dirawat di hospital di Banteay Meanchey, barat laut Kemboja berdepan masalah pernafasan berikutan serangan udara tentera Thailand.

Mereka mendakwa tentera Thailand menggugurkan 'cecair beracun' yang memberi kesan seperti gas toksik jika terhidu.

Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa hampir setiap hari tentera Thailand menggunakan 'gas toksik', termasuk serangan pada Rabu lalu (10 Dis) di sebuah kampung di mana tentera Kemboja ditempatkan.

Pihak Kemboja bagaimanapun tidak mendedahkan nama gas yang disyaki digunakan, tiada bukti dan tidak menyatakan sama ada pihaknya secara rasmi akan membantah penggunaannya kepada pihak berkuasa antarabangsa.

Setakat ini, jurucakap kementerian dan pemerintah negara itu tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai dakwaan terbabit.

Sejak awal Disember, Thailand dan Kemboja terbabit dalam konflik sempadan yang meragut lebih 40 nyawa dan menyebabkan lebih setengah juta orang di kedua-dua negara menjadi pelarian, menandakan pertempuran paling sengit antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu dalam tempoh beberapa dekad.

Jurucakap Tentera Udara Thailand, Leftenan Marsyal Udara, Jackkrit Thammavichai, memberitahu Reuters bahawa tentera udaranya tidak pernah menggunakan senjata kimia dan menyifatkan laporan tersebut sebagai berita palsu yang bertujuan menjejaskan operasi mereka.

"Jika ia senjata kimia, mereka tidak akan menghadapi kesukaran bernafas, tetapi sudah mati," kata beliau.

Semasa pertempuran pada Julai lalu, Kemboja menuduh Thailand menggunakan bom fosforus putih yang menghasilkan awan asap yang tebal serta menyifatkannya sebagai peperangan kimia.

Thailand mengakui memiliki senjata sedemikian. Namun, ia menegaskan bahawa pada masa itu ia tidak dikategorikan sebagai senjata kimia di bawah konvensyen antarabangsa dan digunakan untuk pencahayaan, sebagai skrin asap dan kegunaan lain yang dibenarkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendedahan kepada wap fosforus putih boleh membahayakan mata dan saluran pernafasan.

Kemboja bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pihaknya berpendapat kesan dan kecederaan yang dialami tenteranya kali ini berpunca daripada fosforus putih.

Seorang doktor di sebuah hospital di wilayah Banteay Meanchey, Bong Bunnarith, berkata kira-kira 20 anggota tentera dirawat minggu lalu dengan simptom pening, muntah dan kesukaran bernafas.

Akan tetapi, beliau tidak dapat menentukan dengan tepat punca simptom-simptom berkenaan tanpa ujian lanjut.

"Kami berikan apa sahaja yang ada di sini sebelum memindahkan mereka ke hospital lain," kata beliau.

Di sebuah hospital berasingan di daerah Sisophon, Banteay Meanchey, seorang lagi doktor, Nak Vanny memberitahu bahawa beliau merawat 20 anggota tentera pada Sabtu dengan simptom-simptom yang serupa.

Lawatan Reuters pada Ahad mendapati beberapa anggota tentera terbaring di atas katil dengan ada yang menggunakan topeng oksigen.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita