Skip to main content

Dunia

Kemboja semak semula harga minyak, PM beri amaran berlaku penyeludupan rentas sempadan

Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja semak semula harga minyak, PM beri amaran berlaku penyeludupan rentas sempadan

Perdana Menteri Hun Manet. (Gambar:BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Apr 2026 05:01PM Dikemas Kini : 04 Apr 2026 05:03PM

PHNOM PENH: Kementerian Perdagangan Kemboja menyemak semula harga bahan api utama, dengan diesel mencecah paras tinggi 8,100 riel (S$2.61), sedang krisis tenaga global berlarutan.

Pelarasan harga terbaharu yang berkuat kuasa pada Sabtu (4 April) mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 110 peratus berbanding 3,850 riel (S$1.24) seliter bagi diesel sebelum perang Timur Tengah bermula pada Februari.

Harga petrol biasa (Gasoline 92) pula ditetapkan pada 5,500 riel atau RM5.05 seliter.

Harga gas petroleum cecair (LPG) meningkat kepada 3,900 riel, atau S$1.77 seliter, menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada tengah malam Jumaat.

Semakan harga itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Hun Manet berkata Kemboja mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik dan tidak perlu mengimport dari negara jiran Thailand.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam penyeludupan bahan api rentas sempadan ke negara itu.

“Jika mana-mana syarikat minyak terlibat, lesen mereka mesti dibatalkan. Jika mana-mana penjawat awam atau anggota Angkatan Tentera Kemboja terlibat, mereka akan ditamatkan perkhidmatan dan dibuang serta-merta daripada perkhidmatan, tanpa mengira pangkat,” kata Encik Manet dalam catatan di laman Facebook rasminya pada 3 April.

Kenaikan harga bahan api sejak kebelakangan ini, khususnya diesel dan LPG dijangka memberi kesan kepada sektor pengangkutan, makanan dan minuman, serta isi rumah.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita