Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kemboja percepat usaha hulur bantuan kemanusiaan kepada Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja percepat usaha hulur bantuan kemanusiaan kepada Myanmar

Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn pada 23 Mac 2022. (Gambar: TANG CHHIN Sothy / AFP)

PHNOM PENH: Pengerusi ASEAN, Kemboja, sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan usaha pengagihan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

Negara itu terus menghadapi keganasan sejak rampasan kuasa tentera yang berlaku pada tahun lalu.

Mesyuarat yang diadakan secara hibrid itu dihadiri oleh para wakil peringkat tertinggi dari Myanmar dan sembilan negara anggota ASEAN.

Ia turut melibatkan rakan kerja luar serta agensi-agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa pertubuhan antarabangsa yang lain.

Usaha itu adalah sebahagian daripada percubaan untuk memulihkan konsensus lima perkara mengenai Myanmar, yang dicapai pada April tahun lalu.

PBB menganggarkan bahawa sekitar 14 juta penduduk di Myanmar akan memerlukan bantuan kemanusiaan disebabkan oleh krisis yang berlarutan.

Tentera Myanmar sudahpun memulakan fasa pertama agihan bantuan pada Oktober lalu, dengan bantuan pemulihan seperti bekalan perubatan, yang dianggarkan bernilai AS$1 juta (S$1.38 juta), dikirimkan menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA).

Para penduduk bagaimanapun dipercayai masih belum menerima bantuan tersebut.

Malah media tempatan melaporkan bahawa pihak tentera telah menyekat usaha tersebut.

Mesyuarat yang diadakan di Phnom Penh hari ini bertujuan memperhalusi rancangan bagi mengagihkan bantuan tersebut serta menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para pekerja bantuan.

Buat masa ini, ASEAN telah melantik pusat AHA untuk menyelaraskan agihan bantuan tersebut.

Namun tanggungjawab itu sukar untuk dipenuhi memandangkan pusat tersebut ditubuhkan bagi tindak balas bencana, dan bukan krisis atau konflik politik.

Maka itu, bantuan PBB diperlukan.

Para pakar turut menyarankan negara-negara jiran Myanmar seperti Thailand untuk membantu menyelaraskan aliran bantuan.

Kumpulan-kumpulan tempatan yang mempunyai akses kepada para penduduk yang memerlukan bantuan, juga akan dilibatkan sama.

Sumber : Agensi berita/AI/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan