Skip to main content

Dunia

Kemboja dakwa Thailand lancar serangan udara ke atas Siem Reap

Kemboja menuduh Thailand menyerang jauh ke dalam wilayahnya pada Isnin (15 Dis), mengebom beberapa kawasan yang terletak kurang dua jam perjalanan daripada tarikan utama pelancong di negara itu, iaitu kuil-kuil Angkor yang berusia berabad-abad, dalam konflik sempadan yang tercetus semula.
Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja dakwa Thailand lancar serangan udara ke atas Siem Reap

Para penduduk menyediakan tempat perlindungan berhampiran sebuah kem sementara yang dibangunkan di luar sebuah pagoda di wilayah Siem Reap di Kemboja pada 12 Dis 2025. (Gambar fail: AFP/Tang Chhin Sothy)

Diterbitkan : 15 Dec 2025 05:59PM Dikemas Kini : 15 Dec 2025 08:40PM
PHNOM PENH: Kemboja menuduh Thailand menyerang jauh ke dalam wilayahnya pada Isnin (15 Dis), mengebom beberapa kawasan yang terletak kurang dua jam perjalanan daripada tarikan utama pelancong di negara itu, iaitu kuil-kuil Angkor yang berusia berabad-abad, dalam konflik sempadan yang tercetus semula.

Puluhan orang terkorban dalam pertempuran selama lima hari pada Julai sebelum satu perjanjian gencatan senjata dimeterai tetapi dilanggar dalam masa beberapa bulan. Konflik itu sudah lama berakar umbi, terbit daripada penentuan sempadan sepanjang 800 kilometer yang dilakukan semasa zaman penjajahan.

Pertempuran yang tercetus semula antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu pada bulan ini sudah pun mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang, termasuk askar dan orang awam, dan menyebabkan kira-kira 800,000 orang terpaksa berpindah, kata pihak berkuasa.

Setiap pihak menyalahkan satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran itu, dengan masing-masing mendakwa mereka bertindak untuk mempertahankan diri dan saling tuduh satu sama lain melakukan serangan terhadap orang awam.

Kemboja, yang jauh ketinggalan dari segi persenjataan dan perbelanjaan tentera berbanding tentera Thailand, menyatakan pasukan Thailand meluaskan serangan mereka "jauh ke dalam" wilayah Kemboja pada pagi Isnin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Kemboja menyatakan bahawa sebuah jet pejuang Thailand melancarkan serangan bom "berhampiran sebuah kem perlindungan penduduk di daerah Srei Snam, wilayah Siem Reap".

Menteri Penerangan Neth Pheaktra memberitahu AFP ia adalah kali pertama semasa pertempuran baharu itu di mana tentera Thailand mengebom beberapa kawasan di wilayah Siem Reap, yang menempatkan kompleks kuil Angkor dan daya tarikan utama bagi pelancong, iaitu tapak warisan UNESCO Angkor Wat.

Neth Pheaktra berkata jet-jet pejuang F-16 Thailand menceroboh masuk lebih 70 kilometer ke dalam sempadan Kemboja.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita