Skip to main content

Dunia

Kemboja dakwa Thailand duduki wilayahnya meski gencatan senjata dicapai

Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja dakwa Thailand duduki wilayahnya meski gencatan senjata dicapai
Bendera Thailand dilihat di kawasan Pha Mo E-Daeng di wilayah Sisaket timur laut Thailand pada 12 Feb 2026. (Gambar fail: Reuters/Soveit Yarn)
Diterbitkan : 18 Feb 2026 06:01PM Dikemas Kini : 18 Feb 2026 06:03PM
WASHINGTON: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet memberitahu Reuters pada Selasa (17 Feb) bahawa tentera Thailand menduduki wilayah Kemboja selepas bertempur pada tahun lalu, walaupun adanya perjanjian perdamaian yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Beliau turut menggesa Thailand supaya membenarkan suruhanjaya sempadan bersama memulakan tugas di sempadan yang dipertikaikan.

Dalam wawancara pertama bersama media antarabangsa, Hun Manet, yang mengambil alih kuasa dari bapanya pada 2023, memuji hubungan lebih erat dengan Washington dan berkata pemerintahnya sedang berusaha menangani isu pusat-pusat penipuan siber yang berleluasa di negara itu.

Hun Manet melakukan lawatan ke Washington bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan Trump pada minggu ini dan berkata beliau berharap badan baharu itu dapat memainkan peranan untuk meredakan situasi di sempadan itu, yang beliau sifatkan sebagai "rapuh" walaupun terdapat gencatan senjata pada Disember lalu yang menamatkan pertempuran baharu.

Lembaga itu ditubuhkan untuk menyelia pelan damai Gaza, namun Encik Trump berkata ia akan mengambil peranan lebih luas.

Thailand menyatakan ia mengekalkan kedudukan askar-askarnya sebagai sebahagian daripada langkah pelucutan senjata dan menafikan ia menduduki wilayah itu.

"Kami sedang mematuhi kenyataan bersama, yang bersetuuju untuk mengekalkan penempatan tentera sedia ada. Tiada sebarang pengerahan tambahan dilakukan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri kepada Reuters.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita