Skip to main content

Dunia

Kemboja dakwa tentera Thai masih duduki kawasan awam, cabar gencatan senjata Disember

Tentera Thailand terus menduduki kawasan awam di Kemboja, setelah memagar sebahagiannya dengan kawat berduri dan kontena penghantaran, sekali gus menimbulkan risiko terhadap gencatan senjata antara dua negara jiran itu yang bertempur dua kali pada tahun lalu, kata Menteri Luar Kemboja.
Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja dakwa tentera Thai masih duduki kawasan awam, cabar gencatan senjata Disember
Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di ibu pejabat PBB di New York City, Amerika Syarikat, pada 27 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Caitlin Ochs)
PHNOM PENH: Tentera Thailand terus menduduki kawasan awam di Kemboja, setelah memagar sebahagiannya dengan kawat berduri dan kontena penghantaran, sekali gus menimbulkan risiko terhadap gencatan senjata antara dua negara jiran itu yang bertempur dua kali pada tahun lalu, kata Menteri Luar Kemboja.

Sehingga 4,000 keluarga Kemboja tidak dapat pulang ke rumah mereka di sepanjang sempadan yang dipertikaikan akibat pencerobohan Thailand, kata Encik Prak Sokhonn kepada Reuters, meskipun terdapat perjanjian pada Disember yang menghentikan beberapa minggu pertempuran sengit di sempadan.

“Angkatan tentera Thailand masih menduduki wilayah yang jauh di dalam Kemboja,” katanya pada Selasa (13 Jan) dalam satu temu bual yang jarang diadakan dari Phnom Penh, ibu negara itu, sambil menyenaraikan sekurang-kurangnya empat lokasi sempadan sebagai tapak pencerobohan.

“Keadaan kekal tenang, tetapi terdapat juga beberapa risiko. Jadi kami berharap Thailand akan terus komited terhadap pelaksanaan penuh gencatan senjata.”

Sebagai maklum balas kepada soalan Reuters, pegawai tentera dan pemerintah Thailand merujuk kepada kenyataan Kementerian Luar Thailand pada 12 Januari yang menolak dakwaan Kemboja sebagai “tidak berasas”.

“Kedudukan pasukan semasa yang dikekalkan selepas gencatan senjata merupakan pematuhan langsung terhadap langkah-langkah pengurangan ketegangan yang dipersetujui,” menurut kementerian itu. “Ini tidak boleh disalah tafsir sebagai pendudukan wilayah.”

Dengan serangan jet pejuang, pertukaran tembakan roket dan bedilan artileri, kedua-dua negara jiran itu bertempur selama 20 hari pada Disember, menyusuli satu lagi pusingan pertempuran pada Julai yang berakhir selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

RUNDINGAN SEMPADAN

Pertempuran pada Disember itu meragut 101 nyawa dan menyebabkan lebih setengah juta penduduk di kedua-dua pihak terpaksa berpindah, dalam cetusan terbaharu pertikaian berusia seabad antara kedua-dua negara yang sekal-sekala berubah menjadi konflik.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Kemboja meminta Thailand untuk mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama, satu usaha dua hala untuk menandakan sempadan, namun Bangkok belum mengesahkan penyertaannya, menurut Encik Prak Sokhonn.

“(Isu) kampung yang diduduki akan menjadi keutamaan kami kerana kami perlu menyelesaikan masalah tersebut bagi membolehkan rakyat kami pulang ke rumah,” kata beliau.

Kementerian Luar Thailand menyatakan pihaknya sedang memuktamadkan prosedur dalaman bagi rundingan tersebut, yang akan diadakan selepas sebuah pemerintah baharu mengambil alih susulan pilihan raya pada 8 Februari.

“Pihak Thailand mengulangi komitmen penuhnya untuk menyelesaikan perbezaan melalui mekanisme dua hala dan berhasrat untuk menyambung semula aktiviti JBC dengan secepat mungkin,” tambahnya.

Selain persetujuan untuk tidak menambah jumlah tentera di kedua-dua belah sempadan, gencatan senjata pada 27 Disember itu turut mempersetujui kepulangan penduduk awam yang dipindahkan.

“Kedua-dua gelombang pertempuran itu menyebabkan banyak kerosakan, terhadap kehidupan awam dan juga prasarana,” tambah Encik Prak Sokhonn, memusnahkan jambatan, sekolah, pagoda, jalan raya dan bangunan.

USAHA CHINA

Walaupun Encik Trump memainkan peranan penting dalam menghentikan pertempuran pada Julai dan kemudiannya menyelia pemeteraian perjanjian gencatan senjata yang lebih luas pada Oktober, seruannya gagal menghentikan pusingan kedua pertempuran dengan segera.

Selain usaha Encik Trump dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, Encik Prak Sokhonn turut menggariskan pelibatan China dalam gencatan senjata terbaharu itu, termasuk lawatan penting oleh seorang utusan khas ke Bangkok dan Phnom Penh pada akhir Disember.

“Beliau bertemu perdana menteri kami, menteri pertahanan kami, dan saya,” kata beliau, sambil menyatakan pertemuan serupa turut diadakan di pihak Thailand.

“Jadi ia merupakan satu, boleh dikatakan, sumbangan yang sangat aktif daripada China.”

Dua hari selepas gencatan senjata terbaharu itu, diplomat tertinggi China, Thailand dan Kemboja bertemu di wilayah Yunnan di barat daya China, di mana pihak-pihak yang bertelagah bersetuju untuk membina semula kepercayaan bersama.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita