Kemboja berkas wartawan bongkar kes pemerdagangan manusia, skim penipuan
Polis tentera Kemboja menyatakan pada Selasa (1 Okt) bahawa pihaknya telah menahan seorang wartawan pemenang anugerah yang terkenal kerana menyiasat kes rasuah tempatan, pemerdagangan manusia dan pusat penipuan online. Penahanannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia dan Amerika Syarikat.
Mech Dara, yang bertugas untuk saluran berita antarabangsa dan tempatan, ditahan pada Isnin (30 Sep), kata jurucakap polis tentera Eng Hy, tanpa menyatakan tuduhan terhadapnya.
"Kami telah memohon waran untuk membawanya ke mahkamah. Di mana dia berada, saya tidak tahu," kata jurucakap itu.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Licadho, Dara telah memaklumkan kepada mereka bahawa dia ditahan di pondok tol lebuh raya dekat sempadan Koh Kong dan wilayah Sihanouk di barat daya negara itu.
"Dara mesti dibebaskan supaya dia boleh meneruskan kerjanya untuk menjelaskan isu-isu seperti pemerdagangan manusia, buruh paksa dan rasuah," kata pengarah bersama Licadho, Naly Pilorge, sambil menambah status dan lokasinya tidak diketahui.
"Menangkap salah seorang wartawan paling berani di Kemboja akan memberi kesan buruk terhadap akses kepada maklumat untuk semua rakyat Kemboja."
Reuters tidak dapat mengesahkan butiran penahanan Dara.
Dara diberikan anugerah wira pada tahun lalu oleh Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken, yang mengiktiraf kerjanya mendedahkan kewujudan penipuan besar-besaran yang kebanyakannya dikendalikan oleh para pekerja yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.
Jabatan Negara Amerika sedia maklum tentang penangkapan Dara, kata seorang jurucakap sambil menambah "kami mengikuti perkembangan dengan teliti dan dengan penuh kebimbangan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.