Skip to main content

Dunia

Kemboja bakal calonkan Trump bagi Hadiah Nobel

Kemboja akan mencalonkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel, menurut Timbalan Perdana Menterinya pada Jumaat (1 Ogos), susulan campur tangan secara langsung beliau dalam menghentikan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini antara negara Asia Tenggara itu dengan Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemboja bakal calonkan Trump bagi Hadiah Nobel

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan di Bilik Roosevelt di Rumah Putih, Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 31 Julai 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kent Nishimura)

PHNOM PENH: Kemboja akan mencalonkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel, menurut Timbalan Perdana Menterinya pada Jumaat (1 Ogos), susulan campur tangan secara langsung beliau dalam menghentikan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini antara negara Asia Tenggara itu dengan Thailand.

Apabila ditanya melalui mesej teks untuk mengesahkan rancangan Kemboja mencalonkan Encik Trump bagi anugerah tersebut, Encik Sun Chanthol menjawab “ya”.

Terdahulu, bercakap kepada wartawan di ibu kota Phnom Penh, Encik Chanthol mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump kerana membawa keamanan dan berkata beliau layak untuk dicalonkan bagi anugerah itu, yang merupakan pengiktirafan antarabangsa paling berprestij bagi individu atau pertubuhan yang dianggap paling banyak menyumbang dalam “menggalakkan kerjasama antara negara”.

Pakistan pada Jun lalu menyatakan hasrat untuk mencalonkan Encik Trump bagi Hadiah Keamanan Nobel atas usahanya dalam membantu menyelesaikan konflik dengan India, manakala Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula berkata bulan lalu bahawa beliau sudah mencalonkan Encik Trump untuk anugerah tersebut.

Menurut laporan Reuters, satu panggilan daripada Encik Trump minggu lalu berjaya memecahkan kebuntuan dalam usaha menamatkan pertempuran paling sengit antara Thailand dan Kemboja dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus membawa kepada satu perjanjian gencatan senjata yang dirundingkan di Malaysia pada Isnin.

Berikutan pengumuman gencatan senjata itu, jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata dalam satu catatan di platform X bahawa Encik Trump sudah merealisasikan perjanjian tersebut.

“Berikan beliau Hadiah Keamanan Nobel!” katanya.

Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dalam pertempuran sengit yang berlangsung selama lima hari itu dan menyebabkan lebih 300,000 orang di kedua-dua belah sempadan kehilangan tempat tinggal.

“Kami mengiktiraf usaha besar beliau demi keamanan,” kata Encik Chanthol, yang juga merupakan ketua perunding perdagangan Kemboja, sambil menambah bahawa negaranya juga berterima kasih atas pengurangan kadar tarif kepada 19 peratus.

Washington pada mulanya mengugut untuk mengenakan tarif sebanyak 49 peratus, sebelum mengurangkannya kepada 36 peratus, satu kadar yang akan memberi kesan besar terhadap sektor pakaian dan kasut yang penting bagi ekonomi Kemboja, kata Encik Chanthol dalam satu temu bual bersama Reuters pada awal Jumaat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita