Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Kembalikan wang kami': Taliban gesa berbilion dolar milik Afghanistan di luar negara dipulangkan

Pemerintah Taliban di Afghanistan menggesa agar rizab bank pusat bernilai berbilion-bilion dolar dipulangkan, sedang negara yang dilanda kemarau itu menghadapi masalah aliran tunai, kebuluran besar-besaran dan krisis pelarian baru.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kembalikan wang kami': Taliban gesa berbilion dolar milik Afghanistan di luar negara dipulangkan

Gambar fail orang awam di Kabul, Afghanistan pada 26 Okt 2021. (Gambar: BULENT KILIC/AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2021 10:45PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 10:49PM

FRANKFURT: Pemerintah Taliban di Afghanistan menggesa agar rizab bank pusat bernilai berbilion-bilion dolar dipulangkan, sedang negara yang dilanda kemarau itu menghadapi masalah aliran tunai, kebuluran besar-besaran dan krisis pelarian baru.

Afghanistan menempatkan aset berbilion dolar di luar negara dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan bank pusat lain di Eropah, namun wang itu telah dibekukan sejak Taliban mengusir pemerintah yang disokong Barat pada Ogos.

Seorang jurucakap kementerian kewangan berkata pemerintah akan menghormati hak asasi manusia, termasuk pendidikan wanita, sedang beliau mencari dana baru selain bantuan kemanusiaan yang katanya hanya menawarkan "sedikit keringanan".

"Wang itu milik negara Afghanistan. Kembalikan saja wang kami," kata jurucakap kementerian Ahmad Wali Haqmal kepada Reuters. "Membekukan wang ini adalah tidak beretika dan bertentangan dengan semua undang-undang dan nilai antarabangsa."

Seorang pegawai tinggi bank pusat menyeru negara-negara Eropah termasuk Jerman untuk melepaskan bahagian rizab masing-masing untuk mengelakkan kejatuhan ekonomi yang boleh mencetuskan penghijrahan besar-besaran ke Eropah.

"Keadaan terdesak dan wang tunai semakin berkurang," kata Shah Mehrabi, seorang anggota lembaga Bank Pusat Afghanistan, kepada Reuters.

"Sekarang masih mencukupi ... (sekadar) untuk Afghanistan kekal beroperasi hingga hujung tahun.

"Eropah akan terjejas paling teruk, jika Afghanistan tidak mendapat akses kepada wang ini," Encik Mehrabi memberi amaran.

"Anda akan mengalami masalah berganda kerana tidak dapat mencari roti dan tidak mampu membelinya. Orang ramai akan terdesak. Mereka akan larikan diri ke Eropah," katanya.

Permintaan bantuan itu dibuat ketika ekonomi Afghanistan yang rapuh berada di ambang keruntuhan. Pengunduran tentera yang diketuai Amerika Syarikat dan banyak penderma antarabangsa meninggalkan negara itu tanpa geran yang sebelum ini membiayai tiga suku daripada perbelanjaan awam.

Kementerian kewangan menyatakan ia mengumpul cukai harian kira-kira 400 juta Afghani (AS$4.4 juta atau S$5.93 juta).

Walaupun kuasa Barat mahu mengelak bencana kemanusiaan di Afghanistan, mereka enggan mengiktiraf pemerintah Taliban secara rasmi.

Encik Mehrabi berharap walaupun Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan tidak akan mengeluarkan bahagian terbesarnya daripada dana tersebut iaitu sekitar AS$9 bilion (S$12.13 bilion), beliau berharap negara-negara Eropah tidak akan melakukan yang sama.

Beliau berkata Jerman memegang setengah bilion dolar milik Afghanistan dan negara-negara Eropah lain juga seharusnya melepaskan dana tersebut.

Encik Mehrabi berkata Afghanistan memerlukan AS$150 juta (S$202.2 juta) setiap bulan untuk "mengelakkan krisis daripada berlaku", memastikan mata wang tempatan dan harga stabil, sambil menambah bahawa sebarang pemindahan boleh dipantau oleh juruaudit.

"Jika rizab kekal dibeku, pengimport Afghanistan tidak akan dapat membayar penghantaran mereka, bank akan mula runtuh, makanan akan menjadi terhad, kedai runcit akan kosong," kata Encik Mehrabi.

Beliau berkata kira-kira AS$431 juta (S$581 juta) rizab bank pusat dipegang oleh bank Jerman Commerzbank, serta lebih kurang AS$94 juta (S$126.72 juta) lagi dengan bank pusat Jerman, Bundesbank.

Bank for International Settlements, kumpulan bagi bank-bank pusat global di Switzerland, memegang lagi AS$660 juta (S$889.71 juta). Ketiga-tiga bank enggan mengulas.

Taliban merampas semula kuasa di Afghanistan pada Ogos selepas Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya, hampir 20 tahun selepas kumpulan itu digulingkan oleh tentera pimpinan Amerika Syarikat berikutan serangan 11 Sep 2001 ke atas Amerika Syarikat.

Sumber : Reuters/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa