Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kematian wanita muda di Jawa Barat bangkitkan persoalan kahwin kontrak di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian wanita muda di Jawa Barat bangkitkan persoalan kahwin kontrak di Indonesia

Jumlah perkahwinan Muslim di Singapura tidak jatuh mendadak semasa pandemik COVID-19. (Gambar hiasan: AFP/Jay Directo)

Diterbitkan : 27 Dec 2021 02:33PM Dikemas Kini : 27 Dec 2021 02:33PM

CIANJUR, Jawa Barat: Suasana pilu menyelubungi kediaman Erawati sedang beliau menatap sekeping gambar arwah anaknya, Sarah.

“Beliau seorang yang baik, tidak pernah membuat perkara yang luar biasa," kata wanita berusia 48 tahun itu apabila Mediacorp mengunjung rumahnya di Cianjur pada awal bulan ini.

Anak perempuan Cik Erawati dijumpai terbujur di anjung depan rumah bulan lalu selepas beliau didakwa disimbah dengan asid oleh suaminya, 48 tahun, yang kini di dalam tahanan polis. Perkahwinan mereka hanya bertahan enam minggu.

Cik Sarah meninggal dunia pada hari yang sama, kurang tiga minggu sebelum ulang tahunnya yang ke-21.

Kes itu mencetuskan bantahan di seluruh negara mengenai perlindungan bagi wanita yang berkahwin kontrak.

sarah perkahwinan kontrak indonesia
Sarah ditemui terbujur di halaman depan rumahnya. (Gambar: Kiki Sirger/CNA)


Perkahwinan kontrak menimbulkan kontroversi di Indonesia. Ia tidak diiktiraf secara sah oleh negara itu dan dikatakan melibatkan wang bertukar tangan, ekploitasi seks bahkan juga pemerdagangan manusia.

Dalam kes Cik Sarah, beliau menerima 150 juta rupiah (S$14,300) sebagai wang hantaran. Tertulis di sekeping kertas, pengantin lelaki itu juga berjanji untuk membayar 1 bilion rupiah (S$95,400) "sekiranya janji-janji tidak ditepati dan sebagai contoh, (jika) saya memfailkan perceraian".

Pihak berkuasa tempatan dan negara menyedari betapa perlunya untuk menghapuskan aturan perkahwinan seumpama itu. Namun, terdapat rintangan untuk melaksanakan langkah-langkah dan komitmen pelbagai agensi diperlukan.

APA SEBENARNYA PERKAHWINAN KONTRAK?

Dalam konteks Indonesia, perkahwinan kontrak adalah aturan perkahwinan sementara antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang wujud buat tempoh waktu tertentu, biasanya selama beberapa hari hingga bulan, dengan sejumlah wang bertukar tangan. Warga asing dipercayai memanfaatkan perkahwinan kontrak bagi mengelak daripada menanggung dosa melakukan seks di luar nikah.

Menurut Devie Rahmawati, seorang penyelidik isu sosial bersama Universiti Indonesia, aturan sedemikian berlaku di destinasi pelancongan seperti Puncak di Bogor dan Cianjur di Jawa Barat sejak lewat tahun-tahun 1980-an dulu.

Ia lazimnya melibatkan orang tengah dan perkahwinan dilangsungkan mengikut syariah Islam yang dikenali di Indonesia sebagai nikah siri. Namun, perkahwinan seumpama itu tidak diiktiraf pemerintah.

Kajian juga menunjukkan perkahwinan sedemikian berlaku di beberapa bahagian Jawa Tengah, tambah Cik Rahmawati.

“Dari sudut pandangan hubungan perkahwinan, berdasarkan sesetengah kepercayaan, perkahwinan ini bukan satu masalah. Namun menurut negara, sebuah perkahwinan seharusnya membawa kebaikan kepada mereka yang terlibat dan perlindungan undang-undang akan diberikan kepada mereka, terutama apabila mereka menimang cahaya mata," terangnya.

Beliau menambah cabaran dalam perkahwinan kontrak adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada pemerintah.

Ketua suruhanjaya nasional bagi keganasan terhadap wanita, Andy Yentriyani, berkata perkahwinan kontrak meletakkan wanita dalam risiko.

Beliau juga menekankan bahawa setiap agama memandang perkahwinan sebagai sebuah institusi yang mulia kerana ia adalah asas dalam pembentukan keluarga,sekali gus asas bagi masyarakat.

Penduduk Cianjur yang diwawancara Mediacorp mengesahkan perkahwinan kontrak berlaku dalam masyarakat mereka.

“Ya, ada beberapa (perkahwinan kontrak) di sini," kata Encik Syahdan, penjual kudapan di Cianjur.

“Mungkin segelintir daripada mereka percaya ia adalah lebih baik daripada mengadakan hubungan seks di luar nikah yang haram atau mengupah pelacur yang boleh mendedahkan mereka kepada penyakit seperti AIDS. Maka, mereka memilih perkahwinan kontrak.

“Tetapi sebaliknya, ada juga keburukannya... Ada kes di mana wanita meninggalkan suami mereka atau yang sebaliknya," kata lelaki berusia 21 tahun itu.

APA YANG DILAKUKAN PEMERINTAH SEJAUH INI

Dalam satu wawancara bersama Mediacorp, ketua daerah Cianjur Herman Suherman berkata terdapat banyak kes perkahwinan kontrak di daerahnya khususnya di daerah Cipanas, Pacet dan Sukaresmi.

“Tetapi orang ramai tidak mahu mengakunya secara terbuka, mungkin kerana ia memalukan atau mengaibkan.

"Ada ramai orang yang terjejas dengannya, dipancing dengan sejumlah wang. Mereka hanya melihat manfaat kewangan tetapi hakikatnya, ramai yang menderita akibatnya," ungkap beliau.

Encik Suherman berkata sesetengah wanita melahirkan anak disebabkan amalan itu namun akhirnya, hanya diabaikan oleh si suami.

Beliau juga mendakwa terdapat kes di mana wanita bersetuju untuk berkahwin kontrak kerana menyangka ia akan menjadi satu aturan monogami. Namun, wanita itu kemudian mendapat tahu beliau perlu memenuhi hawa nafsu beberapa lelaki lain.

Encik Suherman mengeluarkan satu peraturan ke seluruh daerah pada Julai yang mengharamkan perkahwinan kontrak.

Beliau menyatakan amalan itu bercanggah dengan tujuan perkahwinan di bawah undang-undang Indonesia. Di bawah undang-undang nasional, tujuan perkahwinan adalah untuk membentuk sebuah keluarga bahagia yang berkekalan dan berdasarkan restu dari Tuhan.

Peraturan daerah Cianjur juga menetapkan bahawa perkahwinan kontrak "amat memudaratkan kepada masyarakat terutama bagi kaum wanita dan hukum Islam".

Bagaimanapun, peraturan itu tidak menyatakan sekatan-sekatan yang jelas memandangkan arahan di peringkat daerah tidak boleh menguatkuasakan hukuman jenayah.

Pemerintah Cianjur juga membentuk sebuah pasukan bertindak antiperkahwinan kontrak yang bertujuan memerangi amalan itu dengan menjalankan rondaan. Namun sedang Indonesia bergelut dengan gelombang kes COVID-19 yang mengancam nyawa pada Julai lalu, pasukan bertindak itu tidak lagi berfungsi.

Tidak lama selepas kes Cik Sarah dilaporkan, pemerintah Cianjur mengaktifkan semula pasukan bertindak tersebut untuk mendidik orang ramai bahawa perkahwinan kontrak adalah perbuatan dilarang.

RINTANGAN UNTUK TANGANI ISU

Di peringkat nasional, kes pembunuhan itu mencetuskan kesedaran tentang perlunya untuk bertindak terhadap perkahwinan kontrak. Namun, agensi-agensi pemerintah juga sedar terdapat rintangan untuk melaksanakan langkah-langkah.

Speaker Dewan Perwakilan, Puan Maharani, menggesa Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Kementerian Agama, polis dan institusi lain untuk mendidik masyarakat bahawa perkahwinan kontrak berpotensi membawa kepada keganasan keluarga.

Encik Adib Machrus, pengarah bertanggungjawab bagi pembangunan keluarga yang aman di Kementerian Agama, berkata kementeriannya memandang perkahwinan kontrak sebagai "haram, tidak sah dan dilarang di sisi undang-undang".

Bagaimanapun, beliau memberitahu Mediacorp tidak mudah bagi kementerian itu untuk menjejaki perkahwinan kontrak. Dalam kebanyakan kes, tiada pegawai ehwal agama yang terlibat ketika nikah siri dijalankan, ujarnya.

Beliau menambah kementerian agama juga menggalak masyarakat agar mendirikan perkahwinan mengikut cara yang sah seperti diiktiraf oleh pemerintah.

Cik Ratna Susianawati, pegawai kanan di Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak menarik perhatian ada undang-undang yang boleh digunakan untuk membanteras perkahwinan kontrak. Ini termasuk undang-undang antipemerdagangan manusia dan undang-undang terhadap keganasan rumahtangga.

Sebaik-baiknya, kata Cik Ratna, perlu ada undang-undang yang disasarkan khusus kepada perkahwinan kontrak tetapi beliau sedar bahawa ia akan mengambil masa dan usaha sebelum undang-undang itu diluluskan di parlimen.

Lantas, mendidik masyarakat tentang bahaya perkahwinan kontrak kekal sebagai kunci untuk mencegahnya daripada berlaku. Namun, ia tidak mudah kerana masyarakat Indonesia sangat beraneka ragam, katanya ketika diwawancara Mediacorp.

Beliau menarik perhatian terdapat pelbagai kepercayaan, tabiat kebudayaan dan pemahaman sosial yang mempengaruhi keadaan.

Sementara itu, ibu Cik Sarah masih lagi meratapi pemergian tragik anaknya.

"Sekarang kes ini menjadi satu teladan. Jangan biarkan ada lagi Sarah yang berakhir seperti anak perempuan saya," ungkapnya.

"Kepada mereka yang punya anak perempuan: 'Anda mesti lebih berhati-hati'."

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa