Kematian penunggang motosikal Gojek: Pemandu kenderaan berperisai polis diturunkan pangkat
Tangkapan skrin Rohmat (tengah), pegawai polis yang memandu kenderaan berperisai yang menggilis penunggang motosikal Gojek Affan Kurniawan, semasa perbicaraan kes etika beliau. (Imej: Youtube/@TvRadioPolri)
Ketua Brigedier Rohmat didapati bersalah kerana melanggar piawai etika polis dalam perbicaraan pada Khamis (4 Sep) tetapi tidak dipecat.
Komisi Kepolisian Nasional (Kompolnas), sebuah badan pemerhati polis bebas, menyatakan Rohmat bertindak di bawah arahan komander pasukannya Cosmas Kaju Gae, yang dipecat sehari sebelumnya.
Pesuruhjaya Kompolnas Ida Oetari Poernamasasi berkata kenderaan berperisai itu mempunyai beberapa titik buta, yang menghalang Rohmat daripada memantau sepenuhnya persekitarannya. Cermin pecah pada sebelah kiri kenderaan tersebut, menurut akhbar Jakarta, Globe yang menukil Ida. Keadaan di luar juga kucar-kacir.
"Hukuman menurunkan pangkat selama tujuh tahun sepadan dengan baki tempoh khidmat pesalah dalam Polis Negara Indonesia," kata Pesuruhjaya Kanan Heri Setiawan, yang mempengerusikan sesi Jawatankuasa Kod Etika mengenai tingkah laku Rohmat.
Encik Heri menyifatkan tindakan Rohmat sebagai "perbuatan yang keji", lapor akhbar Tempo.
Tiada butiran mengenai pangkat Rohmat selepas diturunkan pangkat.
Lima lagi pegawai Brimob duduk di bahagian belakang kenderaan pada masa itu juga sedang menghadapi perbicaraan kes melanggar etika polis.
Mereka adalah Sub-Inspektor M Rohyani, Brigedier Danang, Brigedier Mardin, Jana Edi dan Yohanes David.
Kompolnas juga mengesyorkan pertuduhan jenayah terhadap tujuh pegawai yang terlibat dalam kematian Affan.
Kematiannya mencetuskan kemarahan meluas terhadap keganasan polis dan meningkatkan bantahan yang bermula pada 25 Ogos bagi menentang kenaikan elaun Anggota Parlimen Indonesia.
Tunjuk perasaan diadakan di seluruh Indonesia dan sebahagiannya mengakibatkan pertempuran dengan polis.
Sepuluh orang meninggal dunia, termasuk seorang lagi penunggang motosikal khidmat penghantaran di Makassar, menurut Komisi Nasional Hak Asasi Manusia.
Menyusuli bantahan tersebut, Parlimen Indonesia menarik balik dan membatalkan elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (S$3,923) untuk Ahli Parlimen.
Jumlah tersebut, yang hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta, dikecam secara meluas kerana dianggap tidak sensitif terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Indonesia.
Parlimen juga memutuskan untuk tidak menaikkan gaji para Ahli Parlimen dan mengenakan larangan terhadap perjalanan ke luar negara yang tidak penting, menurut Speaker Dewan Puan Maharani pada Khamis (4 Sep).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.