Skip to main content

Dunia

Kematian pelajar di Yong Peng: Menteri arah pemeriksaan menyeluruh aspek keselamatan sekolah

Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua aspek pengurusan dan keselamatan sekolah, menyusuli kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian pelajar di Yong Peng: Menteri arah pemeriksaan menyeluruh aspek keselamatan sekolah

Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek bertemu keluarga mangsa di Yong Peng, Johor. (Gambar: Facebook/Fadhlina Sidek)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 04:01PM
Student's death in Yong Peng: Minister orders comprehensive review of all aspects of school safety
  • Fadhlina Sidek directed the Education Ministry to carry out a comprehensive review of the management and safety of a school in Yong Peng after a female student was believed to have been murdered.
  • The review covers attendance records for extra classes, security controls and patrols, with the security company asked to give its full cooperation.
  • The Education Ministry said the facts would not be concealed, stern action could be taken if there was negligence, and cooperation with the police would continue without pre-empting the investigation.
  • A 16-year-old male suspect was remanded for six days after being detained on Oct 3, while counselling was provided to affected members of the school community.
Dijana oleh AI
BATU PAHAT: Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua aspek pengurusan dan keselamatan sekolah, menyusuli kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Cik Fadhlina berkata tindakan susulan sedang dijalankan selepas beliau menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan pihak sekolah pada Ahad (4 Okt).

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan menyembunyikan sebarang fakta dan mahu semakan rapi dijalankan, termasuk terhadap rekod kehadiran murid semasa kelas tambahan, kawalan keselamatan serta rondaan di sekitar sekolah.

"Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab KPM diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa," kata Cik Fadhlina menerusi catatan Facebook.

Syarikat kawalan keselamatan yang dilantik sekolah tersebut turut diminta memberikan kerjasama penuh dalam semakan itu.

Cik Fadhlina berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang kecuaian atau kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.

KPM juga akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dan tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa.

Sokongan kaunseling sedang diberikan kepada para pelajar dan warga sekolah yang terjejas.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menghormati proses siasatan dan memberikan ruang kepada keluarga mangsa.

REMAJA 16 TAHUN DIREMAN ENAM HARI

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Mangsa sebelum itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata suspek ditahan sekitar 7.00 malam pada Sabtu (3 Okt) di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Polis menerima maklumat daripada orang awam sekitar 5.50 petang selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Cik Fadhlina pada Ahad (4 Okt) turut menghadiri taklimat di sekolah berkenaan sebelum melawat keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita