Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kematian juruterbang tentera udara M'sia diklasifikasikan mati mengejut

Polis mengklasifikasikan kes kematian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lalu sebagai mati mengejut (SDR).

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian juruterbang tentera udara M'sia diklasifikasikan mati mengejut

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 18 Nov 2021 06:47PM Dikemas Kini : 18 Nov 2021 06:49PM

BUKIT MERTAJAM: Polis mengklasifikasikan kes kematian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lalu sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk akan merekodkan keterangan daripada seorang juruterbang yang terselamat, Mejar Mohd Fareez Omar, 33 tahun yang sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Setakat ini, polis menyiasat kejadian itu sebagai SDR namun kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya. Siasatan lain termasuk dari segi teknikal dikendalikan oleh pihak tentera, kami serahkan kepada mereka (pihak tentera).

"Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pakar perubatan forensik Pulau Pinang, hasil bedah siasat kematian juruterbang TUDM (Mohamad Affendi) adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara," katanya.

Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, Allahyarham Mohamad Affendi, 31 tahun dan Mohd Fareez sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Mohd Shuhaily berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.35 malam yang memaklumkan sebuah pesawat pejuang TUDM terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pesawat dikendalikan dua juruterbang itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan penerbangan malam.

"Latihan itu dilaksanakan di ruang udara Pangkalan Udara Butterworth dan sesi latihan dikatakan telah berlangsung selama satu jam sebelum pesawat tersebut terhempas dan meletup.

"Kedua-dua juruterbang itu sempat keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal namun seorang daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia sentiasa berusaha untuk menaik taraf mana-mana IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara dari semasa ke semasa dengan keutamaan terhadap IPD yang keperluannya 'mendesak'.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan