Skip to main content

Dunia

Kematian di hotel Bangkok: Suspek dakwa diri isteri kepada hartawan Dubai

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian di hotel Bangkok: Suspek dakwa diri isteri kepada hartawan Dubai

(Gambar: Lillian SUWANRUMPHA / AFP)

DA NANG: Seorang wanita yang disyaki meracun sekumpulan warganegara Vietnam dan membunuh dirinya di Bangkok adalah "pelanggan istimewa" salah seorang mangsa. Wanita itu membelanjakan ribuan dolar untuk membawa mangsa ke luar negara bagi menyediakan khidmat solekan buat dirinya, menurut ibu dan rakan si mangsa kepada Mediacorp.

Mereka memberitahu bahawa Tran Dinh Phu, 37 tahun, dibayar sekitar AS$5,000 (S$6,724) bagi setiap lawatan oleh Sherine Chong, yang menyatakan dirinya sebagai isteri kepada seorang hartawan dari Dubai.

Phu dan Chong adalah antara enam warganegara Vietnam yang dipercayai maut setelah menelan sianida yang dikesan pada cawan teh dalam sebuah bilik di hotel Grand Hyatt Erawan.

Mereka dijumpai oleh seorang pekerja pembersihan bilik dalam keadaan yang mencurigakan pada petang Selasa (16 Jul). Polis Thailand mengeluarkan gambar dan identiti mereka pada keesokan hari.

Polis membuat kesimpulan bahawa ia berkemungkinan kes membunuh dan membunuh diri, dengan Chong, 56 tahun, dipercayai melakukan jenayah itu.

Menurut laporan media Thailand Kaosod English, yang menukil beberapa sumber, Chong memujuk satu pasangan dalam kumpulan itu untuk melabur dalam pembinaan hospital di Jepun.

Bagaimanapun, mereka mengalami kerugian sebanyak 10 juta baht (S$370,000). Mereka kemudian bersetuju untuk bertemu di Bangkok untuk menyelesaikan perkara itu.

Dua daripada mangsa yang ditemui mati - Dang Hung Van,55 tahun, dan Chong - memegang dua kewarganegaraan Amerika Syarikat.

Selain Phu, tiga lagi anggota kumpulan itu adalah Nguyen Thi Phuong Lan, 47 tahun, Pham Hong Thanh, 49 tahun dan Nguyen Thi Phuong, 46 tahun.

Beberapa anggota keluarga mereka kini berada di Bangkok dan bekerjasama dengan pihak polis untuk membawa pulang mayat mereka.
Enam individu yang ditemui maut dalam sebuah bilik hotel di Bangkok termasuk (dari kiri atas) Nguyen Thi Phuong, 46 tahun, Nguyen Thi Phuong Lan, 47 tahun, Tran Dinh Phu, 37 tahun, Dang Hung Van, 55 tahun, Chong Sherine, 56 tahun, dan Pham Hong Thanh, 49 tahun.
PHU SERING KE BANGKOK

Apabila CNA melawat rumah ibu bapa Phu, yang tinggal di sebuah kejiranan di Da Nang, iaitu sebuah wilayah di tengah Vietnam, ibunya berkongsi perasaan duka dan terkejut yang dilalui keluarga itu.

"Kadang-kadang apabila saya mendengar bunyi seseorang membuka pagar rumah, saya terfikir sendiri: 'Itu mungkin anak saya Phu yang baru pulang dari kerja'," kata Le Thi Tuy.

"Saya cuma tidak boleh percaya yang anak saya sudah mati. Saya tidak pernah terbayang bahawa lawatan kerja itu adalah yang terakhir, dan saya tidak akan melihatnya lagi."

Menurut Le dan rakan Phu, Pham Mai Quynh, Phu sudah bekerja dengan Chong sejak setahun lalu.

Phu, yang lebih dikenali sebagai Phu Gia Gia di Facebook, merupakan seorang jurusolek yang terkenal di bandar Da Nang. Catatannya di media sosial sering memaparkan pelanggan seperti pengantin wanita, artis dan model buat perkahwinan, pertandingan kecantikan dan pertunjukan fesyen.

Anggota keluarganya berkata bahawa beliau sering ke luar negara untuk bekerja, dan sering membuat lawatan ke Bangkok.
Tran Dinh Phu, 37 tahun, salah seorang daripada warganegara Vietnam yang meninggal kerana disyaki keracunan. (Gambar: Phu Gia Gia/Facebook)
Quynh memberitahu Mediacorp Phu berkongsi dengannya bahawa beliau bekerja dengan isteri kepada seorang hartawan di Dubai.

Seorang wanita di Da Nang yang memperkenalkan Phu kepada Chong, kata ibunya.

Quynh berkata: "Dia menunjukkan kepada saya gambar orang itu. Dia berkata pelanggan itu membayarnya dengan lumayan, AS$5,000 bagi setiap lawatan luar negara untuk menyediakan solekannya. Dia juga ke luar negara untuk pelanggan ini ke tempat-tempat lain seperti Hongkong, bukan sahaja di Thailand."

Menurut Quynh, Phu berkata bahawa pelanggan ini "sangat susah" dan perlu menyemak dengan seorang pakar 'feng shui' di Hong Kong untuk memastikan Phu sesuai sebagai artis solekannya.

Kumpulan itu tiba di hotel pada waktu yang berasingan pada Sabtu (13 Jul) dan Ahad (14 Jul), menurut ketua Polis Metropolitan Bangkok Thiti Saengsawang.

Mereka mendapatkan bilik-bilik yang berasingan - empat bilik di tingkat tujuh dan satu bilik di tingkat lima.

Kaki tangan pembersihan hotel menemui kesemua enam mayat pada Selasa petang di bilik hotel yang di tingkat lima, setelah mereka gagal mendaftar keluar daripada bilik seperti yang dijadualkan.

Tiada tanda-tanda rompakan atau pergelutan. Bilik hotel itu juga dikunci dari dalam.

Penyiasat mempercayai bahawa mereka ditemui setelah mati selama 12 hingga 24 jam.

Menurut Quynh, Phu baru sahaja pulang ke Vietnam dari Bangkok pada minggu sebelumnya pada 10 Julai. Beliau berada di sana atas lawatan kerja buat Chong.

Phu kemudian memberitahu Quynh bahawa beliau akan pulang ke Bangkok pada 12 Julai untuk bekerja.

Mayat-mayat itu ditemui empat hari kemudian.

KELUARGA INGIN TAHU APA YANG TERJADI

Saudara-mara serta rakan-rakan Phu memberitahu Mediacorp bahawa pihak berkuasa Vietnam hanya memberi pengesahan atas kematiannya sehari selepas berita tentang kematian itu dikeluarkan.

Ini setelah laporan dan gambar-gambar mangsa tertera di pelbagai media Thailand dan Vietnam.

Namun, walaupun polis Thailand mengadakan sidang media pada Rabu (17 Jul) keluarganya masih mempunyai soalan berkenaan apa yang berlaku.

Polis sebelum ini menyatakan bahawa kesan sianida ditemui pada cecair yang ada pada teko dan cawan teh di dalam bilik hotel itu.

Namun, rakan-rakan dan keluarga Phu berkata bahawa dia tidak meminum teh atau kopi.

Le, ibunya, menarik perhatian kepada gambar-gambar botol air di meja di bilik hotel itu.

"Dia tidak minum teh, kopi atau bir... Apabila anak saya melancong, dia sering membawa botol air dan membukanya sendiri untuk diminum. Tetapi ada seseorang yang cukup jahat meletakkan racun ke dalam botol," katanya.

"Anak saya tidak melakukan apa-apa sehingga menyebabkan kematian sebegitu. Mereka kata dia diracun. Tetapi anak saya tidak buat apa-apa, kenapa racun dia?"

 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita