Skip to main content

Dunia

Kematian COVID-19 di AS jangkaui 900,000; dipacu lonjakan kes Omicron

Angka kematian akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat mencecah 900,000 pada Jumaat (4 Feb), menurut data Universiti Johns Hopkins.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian COVID-19 di AS jangkaui 900,000; dipacu lonjakan kes Omicron

(Gambar: Spencer Platt/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 05 Feb 2022 01:49PM Dikemas Kini : 05 Feb 2022 01:52PM

NEW YORK: Angka kematian akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat mencecah 900,000 pada Jumaat (4 Feb), menurut data Universiti Johns Hopkins.

Dengan jumlah kes melebihi 76.2 juta, angka korban di seluruh AS meningkat kepada 900,528 setakat 5.22 petang waktu tempatan, agensi berita Xinhua memetik data itu.

California mendahului kadar kematian akibat COVID-19, dengan 80,798 korban jiwa. Texas mencatatkan kadar kematian kedua tertinggi iaitu 80,459 korban diikuti oleh Florida dengan 65,993 dan New York dengan 65,578.

AS kekal sebagai negara paling teruk dilanda wabak itu dengan jumlah kes dan angka kematian tertinggi di dunia, menyumbang hampir 20 peratus daripada kes sejagat dan lebih 15 peratus kematian di seluruh dunia.

Di Jerman, jumlah kes harian COVID-19 mencecah paras tertinggi pada Jumaat, dengan 248,838 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut Institut Robert Koch (RKI) bagi penyakit berjangkit, jangkitan COVID-19 di negara itu terus meningkat buat tujuh hari berturut-turut dan mencecah rekod baru sebanyak 1,349.5 jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk.

"Gelombang Omicron perlahan-lahan merebak dalam kalangan warga emas dan lebih banyak kes dilaporkan di rumah jagaan," menurut RKI dalam catatan Twitter.

Meskipun jumlah jangkitan meningkat, bilangan pesakit yang dirawat di unit jagaan rapi (ICU) kekal sekitar 2,300, jauh di bawah paras tertinggi sekitar 5,700 ketika kemuncak gelombang kedua pada awal 2021, menurut Pendaftaran Unit Rawatan Rapi Jerman (DIVI).

"Kajian mencadangkan bahawa varian Omicron menyebabkan kadar kemasukan ke hospital lebih rendah berbanding varian Delta pada individu yang lengkap divaksin atau menerima vaksin penggalak," menurut RKI dalam laporan mingguan terbarunya.

Setakat ini, lebih 74 peratus penduduk Jerman sudahpun melengkapkan dua dos vaksin. Sebilangan kecil rakyat Jerman, atau 53 peratus, terus menyokong usaha vaksinasi COVID-19 dalam kalangan orang dewasa, menurut tinjauan DeutschlandTrend yang diterbitkan penyiar ARD pada Khamis.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita