Skip to main content

Dunia

Kemarau sebabkan Sungai Golok yang pisahkan Malaysia dengan Thailand mulai kering - jalan kaki saja ke seberang

Anggaran Waktu Membaca:

RANTAU PANJANG: Musim kemarau ketika ini menyebabkan Sungai Golok yang menjadi pemisah antara Malaysia-Thailand di Kelantan mulai kering.

Tinjauan Sinar Harian mendapati paras air sungai itu mulai kering sejak dua minggu lalu akibat kemarau sekali gus menyaksikan beting pasir mulai timbul, lapor Sinar Harian.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Chabang Tiga Bagus, Lubok Gong, Lubok Stol dan sekitar Bukit Lata.

Situasi itu menyebabkan penduduk setempat hanya perlu berjalan kaki untuk ke Thailand berbanding menggunakan bot sebelum ini.

Seorang penduduk, Muhammad Zailani Che Awang, 48 tahun berkata, paras air Sungai Golok dilihat surut sejak dua minggu lalu apabila beting pasir mulai timbul.

"Ini merupakan perkara biasa setiap kali tibanya musim kemarau panjang apabila paras air Sungai Golok menurun dari 5 kepada 3.68 meter.


"Namun kali ini, air sungai kering ketika umat Islam menyambut Ramadan," katanya kepada pemberita pada Ahad(24 Mac).

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan pesta bermain air Sungai Golok tidak dapat dilakukan pada tahun ini.

Ujarnya, jika hari biasa kawasan tersebut menjadi tarikan orang ramai yang mengambil kesempatan bermain air disebabkan ia cetek.

Seorang lagi penduduk Nasran Nasuha, 26 tahun berkata, jika cuaca panas berterusan berkemungkinan lebih banyak lagi kawasan akan menjadi kering.

Menurutnya, ketika ini beting pasir di dasar sungai sudah dapat dilihat secara mata kasar.
"Bagaimanapun, saya harap kemarau ini tidak berpanjangan," katanya, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Bagi Mat Lazim, 60 tahun, keadaan itu sebenarnya boleh menyebabkan sempadan negara mudah dibolosi.

Menurutnya, melihat keadaan sekarang orang ramai hanya berjalan kaki sahaja tanpa perlu menaiki bot.
"Ini memudahkan aktiviti penyeludupan dilakukan.


"Bagaimanapun kehadiran pihak berkuasa dapat membanteras aktiviti tersebut," katanya.

Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita