Skip to main content

Dunia

Kemarahan tercetus selepas majikan M'sia terlepas dakwaan membunuh amah Indonesia

Seorang wanita Malaysia dilaporkan terlepas daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kemarahan tercetus selepas majikan M'sia terlepas dakwaan membunuh amah Indonesia

Adelina Sau dipaksa tidur di halaman rumah tempat kerjanya bersama anjing majikan beliau. (Gambar: Steven Sim/Merdeka)

Diterbitkan : 22 Apr 2019 10:40PM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 10:43PM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Malaysia dilaporkan terlepas daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia. Pembantu itu dipercayai didera dan dipaksa untuk tidur di luar bersama seekor anjing. Para aktivis pada Isnin (22 Apr) mengkritik keputusan "mengejutkan" itu.

Adelina Sau meninggal dunia pada Februari tahun lalu setelah ditemui di luar rumah majikannya di Pulau Pinang, utara Malaysia, dengan kepala dan mukanya bengkak dan luka-luka.

Majikannya S Ambika dikenakan tuduhan membunuh - satu kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori di Malaysia - sejurus selepas mangsa berusia 21 tahun itu diselamatkan dan disahkan mati di hospital.

Related article image
Petronela Koa menangis di sebelah keranda jenazah anak saudaranya, Adelina Sau. (Gambar: JOY CHRISTIAN/AFP)  

Petronela Koa menangis di sebelah keranda jenazah anak saudaranya, Adelina Sau. (Gambar: JOY CHRISTIAN/AFP)

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menggugurkan tuduhan membunuh terhadap S Ambika minggu lalu tanpa memberikan alasan.

Peguam hak asasi manusia terkemuka Malaysia, Eric Paulsen, menyifatkan keputusan itu sebagai "mengejutkan dan tidak boleh diterima".

"Ini salah satu kes penderaan yang paling mendapat liputan dan mengerikan tetapi pejabat peguam negara beranggapan tuduhan patut digugurkan," kata Encik Paulsen, anggota Suruhanjaya Antara Pemerintah ASEAN bagi Hak Asasi Manusia.

Anggota Parlimen kawasan tempat Cik Sau meninggal dunia, Steven Lim berkata keputusan mahkamah adalah "sama tragik seperti kematian Adelina".

Encik Lim menambah beliau sudah menghubungi peguam negara Tommy Thomas yang berjanji akan meneliti semula kes tersebut.

Di Indonesia pula, Wahyu Susi - Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan pemerintah Migrant Care - mengutuk keputusan tersebut dan menggambarkannya sebagai "jauh daripada memberi keadilan".

Beliau berkata tuduhan ke atas majikan berkenaan mungkin digugurkan kerana kegagalan untuk mendapatkan saksi-saksi utama, seperti ibu bapa Cik Sau, untuk memberi keterangan dalam perbicaraan mahkamah. Encik Wahyu juga menyeru Jakarta membantah keputusan tersebut.

Kes pembunuhan Cik Sau mencetuskan kemarahan di Indonesia dan Menteri Ehwal Luar menganggapnya tidak boleh diterima.

Tuduhan mengenai penderaan para pembantu rumah, meliputi kerja yang keterlaluan, perbuatan memukul dan serangan seksual, secara tetap mencetuskan ketegangan diplomatik antara negara-negara Asia Tenggara. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita