Skip to main content

Dunia

Kemarahan tercetus di Yogyakarta, Indonesia selepas puluhan kanak-kanak dipercayai didera di pusat jagaan

Apabila anak perempuan Encik Aldewa Anjasmara Halip yang berusia tiga tahun menangis teresak-esak setiap kali tiba masanya untuk dihantar ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Yogyakarta, pusat kebudayaan Indonesia, beliau menyangka kanak-kanak itu sekadar mahu tinggal di rumah dan bermain.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemarahan tercetus di Yogyakarta, Indonesia selepas puluhan kanak-kanak dipercayai didera di pusat jagaan

Pita polis dipasang di kawasan yang menempatkan pusat jagaan kanak-kanak Little Aresha ketika polis Indonesia menyiasat kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak di Yogyakarta, Indonesia, pada 30 April 2026. (Gambar: REUTERS/Budi Satriawan)

Diterbitkan : 11 Jun 2026 01:58PM
  • Pusat jagaan Little Aresha di Yogyakarta didedahkan mendera dan mengabaikan puluhan kanak-kanak, menyebabkan 13 pengasuh termasuk pemilik ditahan polis pada April.
  • Kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun didapati diikat dan dianiaya secara fizikal, dengan pengasuh mengaku tindakan itu untuk memudahkan kawalan kerana kekurangan staf dan latihan.
  • Kejadian ini mencetuskan kemarahan masyarakat, gesaan pengetatan pengawasan serta pendaftaran pusat jagaan, dan reaksi keras daripada aktivis serta pihak berkuasa.
  • Pemerintah berikrar memperketat peraturan dan meningkatkan pemeriksaan berkala, sementara siasatan dijangka selesai penghujung Jun sebelum tindakan undang-undang diambil.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Apabila anak perempuan Encik Aldewa Anjasmara Halip yang berusia tiga tahun menangis teresak-esak setiap kali tiba masanya untuk dihantar ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Yogyakarta, pusat kebudayaan Indonesia, beliau menyangka kanak-kanak itu sekadar mahu tinggal di rumah dan bermain.

Namun, polis memaklumkan kanak-kanak perempuan tersebut merupakan salah seorang daripada puluhan kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun yang dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di pusat jagaan Little Aresha.

Pihak berkuasa menahan 13 pengasuh kanak-kanak pada penghujung April lalu kerana disyaki mendera dan mengabaikan kanak-kanak jagaan mereka, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai serta gesaan agar pengawasan pemerintah terhadap sektor pusat jagaan kanak-kanak yang sedang berkembang itu diperkukuh. Polis turut memaklumkan bahawa pusat jagaan tersebut beroperasi tanpa lesen yang diperlukan.

"Saya fikir ia perkara biasa kerana dia hanya malas untuk pergi ... tetapi rupa-rupanya dia mengalami trauma di sana," kata Encik Aldewa, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya dirujuk menggunakan nama pertamanya pada sebutan kedua dan selanjutya. Beliau dan isterinya bekerja di pusat-pusat membeli-belah berhampiran.

Polis mendapati kebanyakan daripada lebih 100 kanak-kanak yang didaftarkan di pusat jagaan berkenaan berada dalam keadaan di mana tangan dan kaki mereka diikat ketika serbuan dilakukan pada April, kata Ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Satreskrim Polresta Yogyakarta (Jabatan Siasatan Jenayah Polis Yogyakarta), Apri Sawitri, dalam satu temu bual bersama Reuters. Sebahagian daripada mereka turut diikat pada pintu, tambah beliau.

Seorang lagi penyiasat, Diyah Puspitarini, yang juga Komisioner Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI), memberitahu Reuters bahawa ramai kanak-kanak di pusat tersebut secara rutin ditampar dan dicubit.

Menurut Cik Diyah, para pengasuh memberitahu polis bahawa hukuman fizikal tersebut bertujuan menjadikan kanak-kanak itu "lebih mudah untuk dikawal".

Kesemua 13 suspek adalah wanita, termasuk pemilik, pengetua dan para pengasuh di pusat jagaan tersebut, menurut polis.

Polis tidak mendedahkan identiti suspek kepada umum dan hanya merujuk kepada mereka menggunakan huruf singkatan nama, satu amalan yang lazim di Indonesia sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Reuters tidak dapat menghubungi mana-mana suspek atau mengenal pasti peguam mereka untuk mendapatkan komen. Nombor telefon berdaftar Little Aresha juga tidak lagi digunakan. Pada masa yang sama, tiada sesiapa dalam kalangan suspek tersebut yang mengulas secara terbuka mengenai tuduhan yang dihadapi.

Menurut aktivis hak kanak-kanak, kes itu merupakan kejadian keganasan terhadap kanak-kanak terbesar yang pernah didedahkan di Indonesia melibatkan sebuah pusat jagaan. Kejadian tersebut tersebar secara meluas menerusi tajuk utama akhbar negara itu, selain menjadi tular di media sosial. Ia juga menerima kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi dan para penggubal undang-undang.

Menyusuli penahanan tersebut, pemerintah berikrar untuk memperketat pengawasan dan peraturan selain meningkatkan penyelarasan antara pihak berkuasa pusat dengan pihak berkuasa wilayah.

"Kami berharap Yogyakarta dapat menjadi titik permulaan bagi penilaian semula di peringkat nasional untuk memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak di Indonesia memenuhi piawaian perlindungan kanak-kanak pada tahap setinggi mungkin," kata Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Arifah Choiri Fauzi, yang kementeriannya menyelia pusat-pusat jagaan kanak-kanak, kepada Reuters.

"LEBIH RAMAI KANAK-KANAK"

Little Aresha merupakan antara pusat jagaan kanak-kanak yang lebih mahal di Yogyakarta, sebuah bandar dengan hampir empat juta orang penduduk, yang juga merupakan sebuah destinasi pelancongan budaya di Indonesia.

Menurut Cik Diyah dari Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI), pusat tersebut mengenakan bayaran sehingga 1 juta rupiah (S$71.76) sebulan, sedangkan purata pendapatan bulanan di bandar itu adalah sekitar 3.2 juta rupiah (S$230.40).

Sejak kes tersebut didedahkan kepada umum, pusat jagaan berkenaan menjadi sasaran vandalisme dengan kata-kata kesat disemburkan pada dinding dan tingkap bangunannya.

Cik Diyah berkata keadaan tersebut terbongkar selepas salah seorang pengasuh tampil sebagai pemberi maklumat.

Beliau berkata para pengasuh memberitahu penyiasat bahawa kanak-kanak tersebut diikat atas arahan pengetua pusat jagaan berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi untuk menampung lebih ramai kanak-kanak dengan jumlah kakitangan yang tersedia.

Pusat jagaan yang mempunyai lima bilik dan beroperasi di sebuah rumah itu sesak dengan sehingga 30 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik berukuran kira-kira tiga meter kali tiga meter, kata beliau.

Cik Diyah menambah bahawa para pengasuh tidak menerima latihan khusus dan setiap seorang perlu mengendalikan seramai 10 kanak-kanak.

Garis panduan pemerintah yang tidak mengikat pula mengesyorkan nisbah seorang penjaga bagi setiap empat kanak-kanak.

Di Indonesia, sabitan bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak membawa hukuman maksimum penjara lima tahun serta denda sebanyak 100 juta rupiah (S$7,200.53).

Polis turut menyatakan, pusat jagaan tersebut melanggar undang-undang pendidikan negara kerana beroperasi tanpa lesen, satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

KONSEP BAHARU

Little Aresha beroperasi sejak 2018, kata Cik Diyah. Sepanduk yang dilihat Reuters di premis tersebut menyatakan bahawa pusat itu menawarkan perkhidmatan untuk kanak-kanak seawal usia dua bulan.

Indonesia mempunyai ribuan pusat jagaan kanak-kanak, meskipun konsep tersebut masih dianggap agak baharu di negara itu, di mana kanak-kanak secara tradisinya dijaga oleh ahli keluarga besar mereka.

"Pemerintah tidak mempunyai angka rasmi berhubung jumlah keseluruhan pusat jagaan kanak-kanak di Indonesia," kata Menteri Arifah.

Beliau menambah bahawa pemerintah kini menggesa semua pusat sedemikian supaya mendaftarkan operasi mereka.

Menurut beliau, pusat-pusat jagaan itu beroperasi di bawah pelbagai rangka kerja institusi. Ada yang membentuk sebahagian daripada pusat pendidikan awal kanak-kanak atau tadika, ada yang berasaskan masyarakat atau beroperasi dari rumah, dan ramai yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa.

KPAI kini menggesa pemerintah, polis dan ketua-ketua masyarakat setempat supaya menjalankan pemeriksaan berkala ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak.

Agensi itu turut menggesa pemerintah supaya memperketat syarat kelayakan pengasuh serta kemudahan yang perlu disediakan oleh pusat-pusat jagaan tersebut, kata Cik Diyah.

Anak lelaki Imedia Dwi Anjani yang berusia empat tahun ditemui diikat pada pintu semasa serbuan polis, menurut pihak berkuasa.

Menurut Cik Imelda, beliau berkata pernah melihat lebam dan benjolan pada tubuh anaknya sebelum ini, namun para pengasuh memaklumkan bahawa kecederaan itu berpunca daripada perbuatan kasar yang biasa berlaku ketika kanak-kanak kecil bermain.

Beliau berkata anaknya mengalami keterlambatan berbicara menyebabkan kanak-kanak itu tidak dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

"Apa yang mereka lakukan benar-benar keji," katanya.

Menurut Cik Apri, polis menjangka siasatan akan selesai menjelang penghujung Jun. Selepas itu, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat pendakwa peringkat wilayah untuk dipertimbangkan bagi pertuduhan rasmi.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita