Skip to main content

Dunia

Kemalangan di River Valley: Koroner tekan pentingnya pegang tangan anak kecil ketika lintas jalan

Anggaran Waktu Membaca:
Kemalangan di River Valley: Koroner tekan pentingnya pegang tangan anak kecil ketika lintas jalan

(Gambar: Facebook/Le Petit Society, TODAY)

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan 4 tahun yang dilanggar kereta ketika dia berlari melintasi jalan di River Valley, meninggal dunia disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.

Demikian menurut mahkamah koroner pada Jumaat (12 Jul).

Ia memberi peringatan supaya penjaga perlu sentiasa memegang tangan kanak-kanak kecil ketika melintasi jalan.
PERSPEKTIF PEMANDU

Pemandu, yang tidak didedahkan namanya, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anaknya dari sekolah dan membeli barangan dapur.

Ketika dia membelok ke kanan di Institution Hill dari River Valley Road, kira-kira pukul 5.00 petang, wanita tersebut melihat beberapa kenderaan sedang beratur di seberang jalan.

Pemandu itu kemudian tiba-tiba merasakan kenderaannya terlanggar dan menggilis sesuatu.

Dia kemudian terdengar jeritan dan menyedari bahawa dia terlanggar seorang budak kecil. Pemandu tersebut menghentikan kenderaan dengan segera dan bergegas ke Zara, yang dipeluk oleh pembantunya.

Pemandu itu berkata dia tidak nampak sesiapa melintas jalan sebelum perlanggaran itu dan bahawa dia akan mengambil langkah berjaga-jaga jika dia nampak.

Siasatan oleh polis trafik menunjukkan bahawa wanita tersebut tidak memandu dengan laju dan Zara muncul dalam rakaman kenderaan selama satu saat sebelum perlanggaran berlaku.

Oleh kerana ketinggian Zara adalah 100 sentimeter, dia terlalu rendah untuk dilihat oleh pemandu.

Ketika di hospital, bapa Zara meminta pasukan perubatan untuk terus cuba menyelamatkan Zara sehingga isterinya tiba. Namun, apabila dia tiba di hospital pada pukul 6.20 petang, doktor memberitahu mereka bahawa usaha untuk menyelamatkan Zara tidak berkesan, dan Zara disahkan mati pada pukul 6.45 petang.

KENYATAAN BAPA ZARA

Bapa Zara berkata dia tidak tahu kenapa pembantunya memilih untuk menyeberang jalan tersebut pada hari itu.

Dia menambah bahawa pembantu itu sudah diingatkan supaya berjalan dari prasekolah ke lintasan pejalan kaki berlampu isyarat di Institution Hill, kerana laluan pejalan kaki itu akan membawanya ke rumah mereka.

Bapa Zara berkata keluarganya tiada masalah dengan pembantu itu, kecuali salah faham kecil yang biasa berlaku antara pembantu asing dan majikan.

Pembantu tersebut berkata dia sangat menyayangi anak majikannya dan tidak pernah berniat jahat.

Koroner Eddy Tham berkata, ia adalah kemalangan yang berkaitan dengan lalu lintas jalan raya, satu kemalangan tragis yang menjadi "peringatan kepada penjaga kanak-kanak tentang pentingnya keselamatan jalan raya, dan mereka perlu sentiasa memegang tangan kanak-kanak kecil ketika melintas jalan" .

Ketika didatangi oleh pihak media selepas perbicaraan, peguam keluarga Orlic, Encik Alfred Lim berkata keluarga tersebut akan menimbangkan tindakan undang-undang, namun tidak memberitahu secara khusus pada waktu itu.

Pemandu wanita itu diwakili peguam dari syarikat guaman Damodora Ong. Ketika dihubungi Mediacorp, peguamnya berkata pemandu itu belum didakwa.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita