Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Kemajuan ketara" dalam perjanjian gencatan sementara di Gaza: Sumber

Anggaran Waktu Membaca:
"Kemajuan ketara" dalam perjanjian gencatan sementara di Gaza: Sumber

(Gambar: Menahem KAHANA / AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2025 11:15AM Dikemas Kini : 14 Jan 2025 11:17AM
DUBAI: Beberapa kemajuan dibuat dalam pusingan terbaharu rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas yang bertujuan untuk menentukan gencatan senjata di Gaza, menurut satu sumber pada Isnin (13 Jan).

"Kemajuan yang ketara dalam menyelesaikan isu-isu yang masih belum dapat diselesaikan" dalam rundingan terbaharu di Qatar membawa kepada cadangan "jelas" baharu dibentangkan kepada pihak berkenaan, menurut sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan disebabkan sensitiviti perbincangan.

Qatar, bersama rakan pengantara Amerika Syarikat dan Mesir, terlibat dalam perbincangan berbulan-bulan antara Israel dengan Hamas yang gagal menamatkan konflik yang dahsyat di Gaza.

Menurut sumber, perdana menteri Qatar telah memainkan "peranan penting dalam merapatkan jurang akhir" antara kedua-dua pihak.

Mereka berkata Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani "mendorong Hamas" dalam perbincangan manakala Steve Witkoff, utusan Timur Tengah pilihan Presiden AS Donald Trump "mendorong Israel".

Sejak awal Januari, rundingan tidak langsung disambungkan semula di Doha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang akan memudahkan pembebasan berpuluh-puluh tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Sumber itu menambah bahawa terdapat tindak balas awal "positif" terhadap perjanjian daripada kedua-dua pihak yang akan menyaksikan lebih daripada 30 tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin dalam fasa pertama.

PERJANJIAN DIPERLUKAN

Pemerintah Qatar bertemu dengan wakil Hamas dan utusan Timur Tengah untuk pentadbiran Amerika yang bakal digantikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang sukar ditetapkan.

Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan delegasi dari kumpulan militan Palestin yang diketuai oleh perunding utama Khalil al-Hayya membincangkan "perkembangan dalam rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza, yang bertujuan untuk mencapai gencatan senjata jangka panjang", menurut pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pemerintah Qatar itu juga bertemu Witkoff dan Brett McGurk, utusan Joe Biden untuk wilayah itu, menurut pejabat emir dalam satu kenyataan berasingan.

Tidak lama selepas itu, Rumah Putih mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Presiden Biden bercakap dengan Sheikh Tamim untuk membincangkan "rundingan di Doha untuk gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan".

"Kedua-dua pemimpin menekankan keperluan mendesak untuk perjanjian dilaksanakan bagi memulangkan tebusan... dan membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza melalui lonjakan bantuan kemanusiaan yang didayakan oleh gencatan senjata dan menggesa perjanjian itu," menurut kenyataan itu. .

Pusingan pengantaraan sebelumnya pada bulan Disember berakhir tanpa perjanjian dengan kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain untuk kebuntuan. Hamas menuduh Israel menetapkan syarat baru dan Israel menuduh Hamas menimbulkan halangan kepada perjanjian.

Halangan utama dalam pusingan sebelumnya ialah keengganan Israel untuk bersetuju dengan gencatan senjata yang berkekalan.
 
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan