Kem pelarian Syria di Lubnan dibakar selepas tercetus pergaduhan
Sebuah kem pelarian Syria di utara Lubnan terbakar pada Sabtu malam (26 Dis) selepas pergaduhan tercetus antara sekumpulan pelarian dengan sebuah keluarga rakyat tempatan.
(Gambar: AFP)
BEIRUT: Sebuah kem pelarian Syria di utara Lubnan terbakar pada Sabtu malam (26 Dis) selepas pergaduhan tercetus antara sekumpulan pelarian dengan sebuah keluarga rakyat tempatan.
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) mengesahkan satu kebakaran besar berlaku di kem pelarian yang terletak di wilayah Miniyeh dan beberapa orang yang cedera sudah dihantar ke hospital.
Jumlah yang cedera bagaimanapun belum dapat dipastikan.
"Kem pelarian itu didiami seramai 75 keluarga. Kebakaran itu merebak ke semua khemah yang dibina menggunakan plastik dan kayu," kata jurucakap UNHCR, Khaled Kabbara.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA), kebakaran tercetus selepas berlaku "pergaduhan" antara ahli keluarga rakyat Lubnan dengan "para pekerja Syria".
Sebilangan remaja daripada keluarga rakyat Lubnan itu kemudian membakar beberapa khemah pelarian.
Pertahanan Awam Lubnan bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran manakala pihak tentera dan polis dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa pergaduhan itu berlaku di kawasan Bhanine di mana para pekerja Syria menuntut gaji mereka dibayar tetapi diabaikan oleh majikan mereka.
Sumber yang sama kemudian mengatakan bahawa keadaan menjadi huru-hara apabila seorang wanita warga Syria diganggu.
Lubnan menyatakan bahawa ia menempatkan sekitar 1.5 juta pelarian Syria di negara itu termasuk sejuta yang mendaftar sebagai pelarian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.