Skip to main content

Dunia

Keluarga suspek serangan Ulu Tiram berhaluan radikal, terus direman: Ketua Polis

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga suspek serangan Ulu Tiram berhaluan radikal, terus direman: Ketua Polis

Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 24 May 2024 06:22PM Dikemas Kini : 24 May 2024 08:33PM
KUALA LUMPUR: Lima anggota keluarga suspek dalam serangan maut balai polis di Ulu Tiram pada minggu lalu, direman lebih lanjut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, kata ketua Polis Malaysia Razarudin Husain pada Jumaat (24 Mei).

Serangan pada awal pagi Jumaat itu mengakibatkan dua pegawai polis mati dibunuh sementara seorang lagi cedera.

Suspek ditembak mati semasa berbalas tembakan dengan polis. Ibu bapa dan tiga adik-beradiknya pula ditahan sejak Jumaat lalu.

SOSMA digunakan pihak berkuasa Malaysia bagi pelbagai isu keselamatan dalam negara, termasuk ketenteraman awam, tindakan pengganasan, perbuatan sabotaj dan mengintip.

Di bawah akta itu, polis boleh menahan seseorang sehingga 28 hari. Ikat jamin tidak akan diberikan kepada mereka yang ditahan. Sekiranya didakwa, kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Langkah melanjutkan tempoh penahanan lima suspek terbabit akan memberi polis lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media berasingan pada Khamis (23 Mei).

Kedua-dua Encik Saifuddin dan Encik Razarudin, yang merupakan Inspektor Jeneral Polis, mendedahkan lebih banyak butiran mengenai suspek dan keluarganya.
Related article image
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 18 Mei 2024. Ketua Polis Razarudin Husain berdiri di belakangnya. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Encik Razarudin menegaskan bahawa bapa suspek disyaki seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI). "Ya benar, ia (tertulis) dalam data dan rekod kami," katanya.

JI adalah kumpulan yang bertanggungjawab atas beberapa serangan pengganas paling dahsyat di rantau ini, termasuk serangan bom di Bali yang meragut lebih 200 nyawa.

Empat kanak-kanak dalam keluarga itu dikatakan tidak habis menjalani pendidikan di sekolah. Suspek hanya belajar sehingga darjah empat sementara adik perempuannya tidak dihantar ke sekolah.

Anak sulung dalam keluarga itu pula, seorang wanita, belajar sehingga darjah enam manakala anak kedua, seorang lelaki, menjalani pendidikan sehingga darjah lima, kata Encik Razarudin.

"Kepercayaan dan ideologi di dalam keluarga ini bersifat radikal," tambah beliau.
Berdasarkan soal siasat yang dijalankan polis dengan anggota masyarakat dan individu lain yang ada kaitan dengan JI, keluarga itu didapati mengasingkan diri dan berpegang kepada kepercayaan yang mempunyai kesan negatif terhadap orang lain, kata Encik Saifuddin.

"Kami sudah mengesahkan bahawa keluarga itu tidak bercampur dengan masyarakat, dan sebab yang mereka berikan adalah mereka menganggap yang lain sebagai kafir. Jadi mereka tidak ke masjid untuk solat kerana ia dibina oleh kerajaan...dan menganggap mereka kafir," kata Encik Saifuddin.

"Kami dapat melihat mereka benar-benar percaya bahawa mereka adalah pengikut Islam sementara yang lain adalah kafir... kesannya besar kerana ia bermakna mereka boleh memecahkan hubungan antara satu sama lain dan membawa kesan yang buruk terhadap masyarakat dan negara," tambah beliau.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita