Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keluarga M'sia perlu bersatu pertahan keharmonian negara, kata PM Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga M'sia perlu bersatu pertahan keharmonian negara, kata PM Ismail Sabri

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 31 Aug 2022 07:13PM Dikemas Kini : 31 Aug 2022 07:14PM
KUALA LUMPUR:Keluarga Malaysia perlu terus kekal bersatu padu dan mempertahankan keharmonian dalam semua aspek sebagai rencah utama kestabilan negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Keluarga Malaysia, antara lain, perlu meraikan perbezaan antara mereka serta menjadikannya sebagai satu kelebihan dan terus merapatkan hubungan kekeluargaan antara masyarakat berbilang kaum di negara itu.

“Kita mesti terus kekal bersatu. Itulah rencah paling penting untuk kestabilan negara daripada apa sahaja pun termasuk politik.

"Jangan jadikan perbezaan itu sesuatu yang boleh merenggangkan hubungan kita,” katanya pada sesi wawancara radio NASIONALfm sempena program Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Wisma Radio RTM di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Mohammad Mentek.

Selain itu dalam wawancara selama kira-kira 45 minit, Encik Ismail Sabri sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos berkata Keluarga Malaysia perlu mengekalkan jati diri dengan memastikan mereka bebas daripada penjajahan minda dan budaya.

“Kekalkan diri kita sebagai individu yang benar-benar merdeka kerana penjajahan baru bukan dalam bentuk fizikal seperti dahulu tetapi penjajahan baru adalah melalui penjajahan minda dan budaya. Kita mesti kekalkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada K-KOMM selaku Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 kerana berjaya menganjurkan sambutan pada 31 Ogos dengan sangat cemerlang.

"Alhamdulillah, sambutan yang sangat meriah hari ini, saya tengok dari segi pertunjukan dan perarakan memang sangat baik sekali," kata beliau.

Beliau turut menzahirkan perasaan terharu dengan semangat yang dipamerkan Keluarga Malaysia yang sejak 30 Ogos memenuhi pekarangan Dataran Merdeka untuk turut serta dalam sambutan itu.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan yang mempamerkan kesungguhan mereka pada acara sambutan itu.
Sumber : Bernama/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa