Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keluarga M'sia buktikan keutuhan harungi pandemik; 'bertuah' rai Syawal penuh aman, meriah: Ismail Sabri

Rakyat Malaysia sudah membuktikan kekuatan serta keutuhan masing-masing dalam mendepani ujian pandemik COVID-19 selama dua tahun ini sehingga dapat merasai kembali kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga M'sia buktikan keutuhan harungi pandemik; 'bertuah' rai Syawal penuh aman, meriah: Ismail Sabri

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 May 2022 08:29AM Dikemas Kini : 02 May 2022 08:31AM

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sudah membuktikan kekuatan serta keutuhan masing-masing dalam mendepani ujian pandemik COVID-19 selama dua tahun ini sehingga dapat merasai kembali kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata solidariti Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran dan dugaan itu menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara supaya rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

Dalam perutusan Aidilfitri, Encik Ismail Sabri berkata Malaysia bertuah kerana masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ini meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius, antaranya melibatkan konflik antara Rusia dengan Ukraine serta Palestin dengan Israel.

“Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

“Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara-saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya menyambut Syawal dengan menyeka air mata,” katanya dalam perutusan yang disiarkan di stesen-stesen televisyen pada Ahad (1 Mei) malam.

Encik Ismail Sabri berkata keamanan amat penting dan ia hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

“Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (bertolak ansur) dalam bermasyarakat.

Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’ semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera,” ungkapnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat mengambil peluang dan memanfaatkan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang bermula pada Ahad untuk menyantuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai bagi mengeratkan ukhuwah serta silaturrahim.

Beliau berkata dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan kawalan kendiri demi keselamatan diri dan keluarga tercinta, walaupun banyak kelonggaran telah diberikan. 

“Luangkan masa mengunjungi rumah terbuka dan menziarahi pusara. Bagi anda yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah dengan penuh cermat dan berhemah agar sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan