Skip to main content

Dunia

Keluarga mangsa sindiket penipuan gesa Thailand perhebat usaha bebaskan orang tersayang

Para keluarga rakyat Malaysia yang masih terjerat dengan sindiket-sindiket penipuan di Myanmar menggesa Thailand supaya melakukan lebih banyak lagi untuk membantu menyelamatkan orang-orang tersayang mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga mangsa sindiket penipuan gesa Thailand perhebat usaha bebaskan orang tersayang

Awal bulan ini, keluarga warga Malaysia yang masih ditahan oleh sindiket-sindiket penipuan di Myanmar berkumpul di luar Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur. (Gambar: CNA)

KUALA LUMPUR: Para keluarga rakyat Malaysia yang masih terjerat dengan sindiket-sindiket penipuan di Myanmar menggesa Thailand supaya melakukan lebih banyak lagi untuk membantu menyelamatkan orang-orang tersayang mereka.

Ini menyusuli gesaan untuk mempertingkatkan lagi tekanan terhadap Myanmar dan Thailand untuk membanteras sindiket-sindiket penipuan yang beroperasi di sempadan yang memisahkan kedua-dua negara, dan membebaskan mangsa penipuan yang ditahan secara paksa.

Awal bulan ini, berpuluh-puluh anggota keluarga berkumpul di luar Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, menyeru kerajaan Thailand supaya membanteras kumpulan-kumpulan jenayah yang telah memperdayakan anggota keluarga dan saudara-mara mereka untuk melakukan kerja-kerja penipuan.

Mereka mendakwa orang tersayang mereka terjerat dengan tipu muslihat sindiket-sindiket yang menawarkan pekerjaan palsu.

Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa ia telah berjaya membawa pulang 15 mangsa penipuan warga Malaysia pada Isnin (24 Feb), selepas mereka diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada rakan-rakan sejawatan mereka di Thailand pada 12 Feb.

Kedutaan Malaysia di Bangkok menawarkan sokongannya termasuk lawatan konsular, komunikasi dengan anggota keluarga, dan dokumen perjalanan sementara, menurut kementerian itu.

Ia menambah bahawa pihak kedutaan juga menguruskan pengangkutan dan bekalan penting seperti makanan dan pelitup, serta menemani mangsa sepanjang perjalanan 25 jam dari wilayah Tak di Thailand ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Usaha sedang dijalankan untuk membawa pulang lagi 22 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar.

TINDAKAN TERHADAP SINDIKET PENIPUAN

Sindiket-sindiket jenayah juga terlibat dalam beribu-ribu kes pemerdagangan manusia dari seluruh dunia ke sindiket-sindiket sedemikian di merata Asia Tenggara, termasuk di sempadan Thailand-Myanmar di mana para mangsa telah dipaksa bekerja dalam operasi penipuan online, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Para pemerhati menekankan keperluan untuk lebih banyak usaha dilakukan bagi melumpuhkan sindiket-sindiket penipuan siber, kerana ia semakin berleluasa di seluruh rantau tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari lalu, pihak berkuasa Thailand melancarkan tindakan tegas menyusuli penculikan pelakon China, Wang Xing, yang telah diperdayakan dengan tawaran lakonan yang lumayan di Thailand.

Dia kemudian ditemui berhampiran bandar Myawaddy yang bersempadan dengan Myanmar, kawasan yang terkenal dengan sindiket-sindiket penipuan, dan sejak itu sudah dibawa pulang ke China.

Minggu lalu, Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan memuji usaha China dan Thailand untuk membebaskan beribu-ribu mangsa penipuan yang ditahan di Myawaddy.

"China telah mengambil langkah tegas untuk memerangi (jenayah) rentas sempadan, terutamanya penipuan pekerjaan dan perjudian haram sebaik mungkin," katanya.

“Thailand juga telah diminta memotong bekalan elektrik (bagi lokasi sindiket penipuan)... Itulah sebabnya ramai mangsa dibebaskan baru-baru ini.”

Ramai keluarga mangsa masih gelisah, dan berharap pihak berkuasa dapat membawa pulang orang-orang tersayang dengan selamat.

"Saya berharap tentera (China) boleh masuk ke dalam lokasi sindiket-sindiket penipuan di mana anak saya ditahan, dan memaksa mereka menyerah diri supaya anak saya boleh pulang ke pangkuan keluarga," kata seorang bapa mangsa.

MEMBANTERAS PENIPUAN

Thailand telah memutuskan bekalan elektrik dan khidmat internet ke beberapa lokasi di Myanmar dalam usaha untuk melumpuhkan operasi penipuan itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim yang membantu menganjurkan perhimpunan di luar Kedutaan Thailand, berkata terdapat keperluan untuk platform di mana orang ramai boleh berkongsi maklumat, yang kemudian boleh digunakan oleh kerajaan untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa.

Kumpulan kemanusiaan yang membantu mangsa penipuan menggesa pendekatan kolektif oleh ASEAN untuk menangani gejala ini yang dianggarkan bernilai berbilion dolar oleh para penganalisis industri.

Malaysia telah melancarkan beberapa siri program untuk mendidik orang ramai terhadap penipuan online.

Sementara itu, undang-undang sedia ada telah diperketatkan untuk menghukum penipu yang menyalahgunakan media sosial untuk menipu mangsa. Pengendali rangkaian internet juga telah memadamkan beribu-ribu catatan berkaitan penipuan.

Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, akan terus mengetengahkan isu sindiket penipuan pekerjaan yang beroperasi di seluruh rantau ini.

Kerjasama antara 10 negara anggota ASEAN juga akan diperkukuhkan melalui polis rantau ini, atau ASEANAPOL.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita