Skip to main content

Dunia

Keluarga berpengaruh disyaki terbabit rancang jatuhkan kerajaan Malaysia guna media antarabangsa

Sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa menggunakan agensi perhubungan awam dan media antarabangsa dalam usaha menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga berpengaruh disyaki terbabit rancang jatuhkan kerajaan Malaysia guna media antarabangsa

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail. (Gambar: Facebook/PDRM)

Diterbitkan : 27 Feb 2026 10:04PM Dikemas Kini : 27 Feb 2026 10:28PM
KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa menggunakan agensi perhubungan awam dan media antarabangsa dalam usaha menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Perkara tersebut diperoleh hasil laporan polis yang dibuat seorang individu di ibu negara pada 10.29 pagi semalam.

Berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa terdapat perbincangan dalam kalangan sekumpulan individu yang merancang menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Laporan itu mendakwa tekanan tersebut dibuat khususnya berkaitan usaha menggugurkan dakwaan dalam siasatan melibatkan agensi tersebut.

Selain itu, pengadu turut mendakwa khidmat pelobi di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) turut digunakan bagi memberi tekanan kepada Malaysia.

Pengadu turut mendakwa kaedah penggunaan pelobi itu didakwa merupakan strategi profesional yang lazim digunakan untuk mempengaruhi dasar sesebuah negara serta hala tuju sesuatu isu di peringkat global.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.

Encik Mohd Khalid berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan berhubung kes itu masih diteruskan dan menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sementara siasatan dilengkapkan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara itu.
Sumber : Bernama/KH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita