Keluarga arwah Siti Nur Surya masih trauma
Keluarga Siti Nur Surya yang mati dibunuh pada Ahad lalu, masih lagi trauma dan tidak mampu menjejakkan kaki ke kediaman mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong yang menjadi lokasi pembunuhan tragis gadis itu.
(Gambar: Bernama)
KUALA TERENGGANU: Keluarga Siti Nur Surya yang mati dibunuh pada Ahad lalu, masih lagi trauma dan tidak mampu menjejakkan kaki ke kediaman mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong yang menjadi lokasi pembunuhan tragis gadis itu.
Bapa arwah, Encik Ismail Muda, 58, berkata selepas kejadian ngeri yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu, mereka sekeluarga masih belum mendapat kekuatan untuk pulang ke kediaman mereka dan kini tinggal buat sementara waktu di rumah datuk arwah di Kampung Beladau Selat, Kepong.
"Masih terbayang di ingatan saya keadaan kakak (Siti Nur Surya) yang berlumuran darah ketika ditemui di ruang tamu rumah. Itulah yang menyebabkan saya sendiri belum mampu balik ke rumah di Telemong selepas kejadian itu. Hanya anak-anak lelaki sahaja yang berulang-alik melihat rumah dan mengambil barang keperluan seperti pakaian, namun tiada siapa yang sanggup bermalam di sana buat masa ini.
"Di samping itu, keadaan isteri saya (Zaini Musa, 55) yang terlantar sakit akibat barah otak menyebabkan saya tidak boleh tinggalkan dia dalam tempoh yang lama. Sebelum ini, kalau saya pergi ke mana-mana arwah kakak yang akan jaga, tapi bila dia tiada saya terpaksa menguruskan sendiri isteri dengan bantuan anak-anak yang lain," katanya ketika ditemui pemberita hari ini (5 Nov).
Awal dari itu, Encik Ismail menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Siti Nur Surya,19, ditemui dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya, Nor Liyana Syuhada, 15, semasa pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang.
Menyusuli kejadian itu, seorang pelajar perempuan tingkatan enam yang juga rakan sekolah arwah ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, abang arwah Encik Muhammad Faris Akram, 23, berkata meskipun sudah lima hari kejadian hitam itu berlaku, ibu mereka masih lagi tercari-cari Siti Nur Surya walaupun sudah beberapa kali dimaklumkan arwah sudah tiada.
"Sebelum ini, arwah yang biasa menguruskan emak dan antara anak yang paling rapat dengan emak. Apabila orang lain yang mengambil alih tugas, emak akan bertanya kakak pergi ke mana? Tetapi ketika emak ingat kakak telah meninggal dunia dia akan sedih dan termenung," katanya.
LAPORAN BERKAITAN: Bapa tidak sangka bekas rakan sekolah tergamak bunuh anaknya
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.