Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelonggaran sekatan M'sia dialu-alukan tapi bawa keresahan & kebimbangan, kata pakar

"Sepatutnya pembukaan tersebut ialah apabila Malaysia capai 40% ataupun 50% secara nasional dan tertakluk kepada negeri pula. Negeri paling kritikal sekarang ini Selangor, Kelantan dan negeri seperti Johor juga meningkat tapi kadar vaksin masih rendah," ujar Profesor Awang Azman.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelonggaran sekatan M'sia dialu-alukan tapi bawa keresahan & kebimbangan, kata pakar

Seorang petugas kesihatan dilihat di Segamut. (Gambar: AP)

KUALA LUMPUR: Malaysia mula melonggarkan beberapa sekatan bagi penduduknya yang sudah menjalani vaksinasi penuh mulai Selasa (10 Ogos).

Pengamat sosiopolitik Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah itu disambut baik sesetengah warga Malaysia.

Namun, beliau menambah masih ada yang bimbang dan resah kerana Malaysia masih bergelut dengan gelombang jangkitan COVID-19 dengan kadar vaksinasi yang rendah.

Di bawah kelonggaran sekatan yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Ahad (8 Ogos), penduduk negara itu yang sudah divaksinasi sepenuhnya, dibenarkan merentas negeri bagi bertemu pasangan suami atau isteri, ibu bapa dan anak di bawah 18 tahun yang menetap di negeri lain.

Mereka juga boleh makan di luar dan menyertai kegiatan agama di rumah ibadat selain bersenam di luar juga dengan peraturan jarak selamat wajib dipatuhi.

KURANG 30% PENDUDUK M'SIA SUDAH DIVAKSIN

Walaubagaimanapun, kelonggaran itu hanya bagi sebilangan kecil penduduk Malaysia yang sudah lengkap kedua-dua dos vaksin COVID-19.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, hanya sekitar 27 peratus penduduk negara itu sudah divaksin sepenuhnya setakat 9 Ogos lalu.

"Sepatutnya pembukaan tersebut apabila mencapai sekurang-kurangnya 40 ataupun 50 peratus secara nasional dan ia tertakluk kepada negeri pula. Negeri paling kritikal sekarang ini Selangor, Kelantan dan negeri seperti Johor juga meningkat tapi kadar vaksin masih rendah.

"Saya kira secara keseluruhannya walaupun ada kebaikan yang ada tapi ia turut mengundang kebimbangan di kalangan rakyat," ujar Profesor Awang.

Buat masa ini, tujuh negeri di Malaysia berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Selangor dan Johor.

Enam negeri pula di bawah Fasa 2 antaranya Pahang dan Kelantan.

Tiga lagi negeri di bawah Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dan belum ada negeri yang berada di Fasa 4 PPN.

Fasa 1 merujuk kepada negeri yang lebih serius dengan jumlah kes yang tinggi, sekatan lebih diperketat dan kadar vaksinasi yang rendah.

Setiap negeri jika menunjukkan prestasi yang bertambah baik bagi setiap dapat beralih ke fasa seterusnya.

PERLU PERTINGKAT PROSES VAKSINASI

Profesor Awang turut berkongsi bahawa lebih banyak negeri dapat beralih ke fasa seterusnya dengan lebih pantas jika kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan.

Malah beliau yakin dengan situasi memburuk di Malaysia, lebih ramai orang akan terdorong untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau menambah: "Sebenarnya bukan disebabkan sikap rakyat yang tidak mahu vaksin tetapi lebih kepada proses pemvaksinan itu agak perlahan. Cuma dalam beberapa minggu ataupun sebulan dua ini, proses itu semakin dipercepatkan oleh pihak kementerian dan agensi kerajaan.

"Saya kira isunya adalah dari segi keberkesanan ataupun proses mendapatkan dari segi kepantasan itu yang agak kurang."

Profesor Awang menambah model vaksinasi secara "walk-in"^ atau tanpa menempah slot janji temu mungkin dapat meningkatkan kadar vaksinasi di negara itu dengan lebih cepat lagi.

Misalnya, di Sarawak yang sudah berada di Fasa 3 PPN, model vaksinasi "walk-in" membolehkan negeri itu mencapai paras 85 peratus penduduknya yang sudah ada sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.

Kes baru COVID-19 di Malaysia hari ini melonjak semula kepada hampir 20,000 kes setelah jumlahnya merosot buat tiga hari berturut-turut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan