Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelemahan pemerintah antara punca cacar monyet terus menular di AS

Anggaran Waktu Membaca:
Kelemahan pemerintah antara punca cacar monyet terus menular di AS

(Gambar: Joe Raedle/Getty Images via AFP)

LOS ANGELES: Jumlah kes cacar monyet di Amerika Syarikat (AS) terus meningkat dengan pantas, melebihi 11,000 kes, dengan media dan pakar menyalahkan kelemahan pentadbiran Presiden Joe Biden dalam membendung wabak itu.

Menurut data terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, sebanyak 11,177 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh negara setakat Jumaat (12 Ogos), lapor agensi berita Xinhua.

New York mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 2,295 kes, diikuti oleh California dengan 1,945 kes dan Florida dengan 1,085 kes.

Setakat ini, AS mencatatkan jumlah kes cacar monyet tertinggi di dunia.

Kelemahan pentadbiran Presiden Biden dalam menangani cacar monyet membolehkan penyakit itu bertapak di negara itu, menurut laporan Politico.

Kelemahan itu termasuk pelaksanaan protokol ujian awal, pengedaran vaksin yang lembap, kekurangan pembiayaan persekutuan untuk membantu pemerintah negeri dan tempatan bertindak balas terhadap wabak itu, dan komunikasi yang tidak teratur dengan masyarakat yang paling terjejas oleh virus itu, dedah laporan tersebut.

Pakar epidemiologi, pegawai kesihatan awam dan doktor memberi amaran bahawa pemerintah AS kesuntukan masa untuk menghentikan virus daripada merebak dalam kalangan penduduk AS.

Cacar monyet merupakan satu lagi krisis kesihatan global yang didorong oleh pengabaian pemerintah AS, menurut ruangan di laman sesawang media Amerika Truthout.

Sekiranya pemerintah AS bertindak pantas dan mengedarkan vaksin dengan segera kepada mereka yang paling berisiko, kemungkinan cacar monyet tidak akan berkembang menjadi krisis sedemikian, tegas laporan itu.

Hanya selepas tiga bulan wabak cacar monyet dikesan di AS, pemerintah persekutuan akhirnya mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan pada 4 Ogos.

"Tetapi keputusan itu mungkin sudah terlambat," menurut laporan VOX, sebuah laman sesawang berita dan pendapat Amerika.

Data yang tepat penting untuk kesihatan awam, dan AS tidak memilikinya, tegas laporan itu selanjutnya.

"Apabila cacar monyet sudah menjadi kecemasan kesihatan awam global, penting untuk mempunyai data yang tersedia, segera dan tepat, bertujuan untuk menyelaraskan tindak balas kesihatan awam yang berkesan," menurut laporan itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan