Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kekurangan ubat-ubatan di M'sia bukan disebabkan pembelian cemas, kata Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku terutama di farmasi dan kemudahan kesihatan swasta tertentu ketika ini bukan disebabkan pembelian cemas oleh orang ramai, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan COVID-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.

Bagaimanapun, Encik Khairy berkata keadaan itu tidak berlaku di seluruh negara, sebaliknya hanya membabitkan beberapa lokasi dan ubat-ubatan tertentu. Beliau memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di Malaysia secara keseluruhannya mencukupi.

"Sebab banyak ubat-ubatan yang dikatakan kurang ini, bukan tidak ada, tetapi dikatakan kurang ini adalah ubat untuk penyakit biasa macam selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya. 

"Jadi mungkin itu ada kaitan dengan ramai yang dijangkiti COVID-19 dan juga selepas ini HFMD, jadi mungkin dari segi pembelian itu…permintaan ubat  sudah meningkat disebabkan fenomena tersebut," kata beliau pada sidang media di Alor Setar hari ini (9 Jun).

Encik Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan semakan dengan pengeluar dan pengimport ubat-ubatan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekalan selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik-klinik swasta.

"Kita akan bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi ubat alternatif ataupun kalau sekiranya perlu, kita import ubat dari negara lain.

"Tapi buat masa ini, kita ada dapat beberapa aduan setiap hari dan kita akan cuba bantu mereka untuk dapat bekalan ubat-ubatan ini. Di kemudahan kerajaan tidak ada masalah…yang ada kekurangan di kemudahan kesihatan dan klinik swasta," kata beliau.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan