Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kekurangan bekalan ayam, peniaga M'sia terpaksa naikkan harga

Anggaran Waktu Membaca:
Kekurangan bekalan ayam, peniaga M'sia terpaksa naikkan harga

Salah seorang peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. (Gambar: Nik Abdullah Nik Omar/Harian Metro)

KOTA BHARU: Bekalan ayam yang tidak mencukupi menyebabkan peniaga kedai makan di sekitar Kota Bharu resah apabila mereka tidak dapat memenuhi tempahan dipesan pelanggan.

Situasi itu turut mendorong peniaga kedai makan dan restoran terpaksa menaikkan harga jualan antara 50 sen (S$0.16) hingga RM1 (S$0.31), lapor Harian Metro. 

Peniaga, Rosnani Zamri, 29 tahun, berkata, disebabkan masalah tersebut, beliau juga terpaksa mengurangkan jumlah jualannya sejak beberapa hari yang lalu.

Katanya, jika sebelum ini, beliau dapat menjual nasi khoumok sebanyak 800 bungkus sehari, namun, sejak beberapa hari lalu hanya dapat menjual sekitar 400 bungkus sahaja.

"Ini disebabkan jumlah ayam yang kami dapat daripada pembekal hanya 50 ekor sahaja, berbanding sebelum ini 100 ayam sehari.

"Selain bekalan kurang, harga ayam juga naik dengan mendadak menyebabkan kami sebagai peniaga kedai makan terpaksa menaikkan harga jualan nasi daripada RM5 (S$1.57) kepada RM5.50 (S$1.72) sebungkus," katanya yang menjual nasi khoumok di Cabang Tiga, Jalan PCB di Kota Bharu.

Ibu kepada lima orang anak itu berharap masalah bekalan ayam dapat diselesaikan kerana ia menjejas pendapatan peniaga ayam dan juga pemilik kedai makan sepertinya, menurut Harian Metro. 

Sementara itu, peniaga ayam, Zarina Abdullah, 53 tahun, berkata, bekalan ayam bermasalah sejak dahulu lagi, namun semakin kritikal sejak beberapa hari yang lalu.

Menurutnya, bekalan ayam berkurangan sebanyak 50 peratus sejak beberapa hari yang lalu hingga menjejaskan pendapatan peniaga sepertinya, lapor Harian Metro. 

Katanya, sebagai peniaga, dia cuba memenuhi keperluan pelanggan apabila tetap menjual ayam setiap hari dengan kuantiti yang ada.

"Disebabkan bekalan kurang, harga ayam meningkat. Namun, sebagai peniaga, saya harap masalah itu dapat diselesaikan dan harga ayam dapat dijual dengan lebih murah seperti sebelum ini.

"Harga yang meningkat menyebabkan jumlah pembeli semakin berkurangan dan mungkin mereka memilih untuk membeli lauk lain seperti ikan," katanya yang menjual di Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan