Skip to main content

Dunia

Kekurangan bahan api di Bali cetus barisan panjang di stesen minyak

Kekurangan bahan api di pulau peranginan Bali, Indonesia, menyebabkan barisan panjang di stesen-stesen minyak pada Rabu (14 Okt), sehingga menjejas rancangan percutian para pelancong.

Anggaran Waktu Membaca:
Kekurangan bahan api di Bali cetus barisan panjang di stesen minyak

Barisan panjang kenderaan di sebuah stesen minyak di Bali, Indonesia, menyusuli gangguan bekalan bahan api di pulau peranginan itu. (Gambar: AFP/Sonny Tumbelaka)

Diterbitkan : 14 Oct 2026 05:38PM
Fuel shortage in Bali triggers long queues at petrol stations
  • A fuel shortage in Bali on Oct 14 caused long queues of vehicles at petrol stations, with some users waiting for hours.
  • Tourists such as Raisa Neagu from Moldova were forced to cancel their plans after their motorcycles ran out of petrol, while travel to northern Bali may be affected.
  • Pertamina said the disruption was caused by a distribution delay after a tanker encountered problems, while Bali Governor said a supply of 22 million litres had arrived.
  • To ease the congestion, petrol stations in Denpasar and Badung are operating 24 hours a day, with depot deliveries being made around the clock.
Dijana oleh AI
BALI: Kekurangan bahan api di pulau peranginan Bali, Indonesia, menyebabkan barisan panjang di stesen-stesen minyak pada Rabu (14 Okt), sehingga menjejas rancangan percutian para pelancong.

Menurut saksi, barisan kenderaan di beberapa kawasan mencecah sehingga satu kilometer, dengan sesetengah pengguna terpaksa menunggu berjam-jam untuk mengisi minyak.

Seorang pelancong dari Moldova, Raisa Neagu, 43 tahun, berkata beliau terpaksa membatalkan rancangan percutiannya selepas motosikalnya kehabisan petrol.

"Kami terkandas tanpa petrol. Jadi, kami tidak dapat bergerak dan terpaksa membatalkan semua rancangan," katanya kepada AFP.

Beliau, yang dijadualkan pulang pada 21 Oktober, turut melahirkan kebimbangan bahawa rancangan untuk mengunjungi bahagian utara Bali mungkin terjejas.

GANGGUAN PENGAGIHAN BEKALAN BAHAN API

Presiden Pengarah syarikat minyak dan gas milik pemerintah Indonesia, Pertamina, Simon Aloysius Mantiri, pada Selasa (13 Okt) menjelaskan bahawa gangguan bekalan itu berpunca daripada kelewatan pengagihan selepas sebuah kapal tangki menghadapi masalah memunggah muatannya.

Beliau turut memohon maaf atas gangguan tersebut.

Gabenor Bali, I Wayan Koster, menyatakan sebuah kapal tangki yang membawa lebih 22 juta liter bahan api tiba di Bali pada Selasa.

Bekalan itu dijangka dapat memenuhi permintaan bahan api di pulau tersebut sehingga tujuh hari.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan api mencukupi dan lebih banyak penghantaran dijangka tiba sepanjang minggu ini.

STESEN MINYAK BEROPERASI 24 JAM

Bagi mengurangkan kesesakan, stesen-stesen minyak di kawasan tumpuan pelancong Denpasar dan Badung akan beroperasi 24 jam sehari.

Penghantaran bahan api dari depot juga akan dijalankan sepanjang masa bagi mempercepatkan pengagihan bekalan.

Bagaimanapun, tempoh pelaksanaan langkah itu belum diumumkan.

Seorang pekerja hotel, Ni Wayan Susiani, 22 tahun, berkata beliau terpaksa menunggu sekitar lima jam sebelum berjaya membeli petrol untuk motosikalnya.

Beliau berharap keadaan kembali pulih dalam beberapa hari mendatang.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita