Kekecohan tercetus ekoran kebakaran di Kompleks Pertama KL
"Orang ramai lari bertempiaran dan panik apabila tiba-tiba asap tebal memenuhi bahagian aras bawah bangunan,” kata Encik Nawawi Nordin, 29 tahun, salah seorang pengunjung pusat beli belah Kompleks Pertama yang terbakar pada Jumaat (1 Feb).
Saluran asap yang terletak di bahagian dapur sebuah kedai makan di Kompleks Pertama terbakar. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: "Orang ramai lari bertempiaran dan panik apabila tiba-tiba asap tebal memenuhi bahagian aras bawah bangunan,” kata Encik Nawawi Nordin, 29 tahun, salah seorang pengunjung pusat beli belah Kompleks Pertama yang terbakar pada Jumaat (1 Feb).
Menceritakan detik mencemaskan itu, Encik Nawawi berkata ia berlaku apabila salah satu saluran asap yang terletak di bahagian dapur sebuah kedai makan di bangunan itu terbakar.
Menurutnya, kebakaran kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan kepulan asap tebal keluar dari bahagian bumbung bangunan berkenaan serta memenuhi kawasan dalam bangunan.
Ketika kejadian, Encik Nawawi bersama keluarganya sedang membeli telefon bimbit di bangunan tersebut.
"Tiba-tiba orang menjerit dan mengatakan bangunan itu sedang terbakar sebelum asap tebal memenuhi kawasan itu. Semua yang berada di dalam bangunan bergegas keluar.
"Mujur ia hanya kebakaran kecil dan tidak meragut sebarang nyawa," cerita beliau lagi.
Dalam pada itu itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.39 petang.
"Seramai 40 pegawai dan anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa serta Sentul dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran hanya berlaku pada bahagian saluran asap restoran itu sahaja dan kita berjaya mengawal keadaan sebelum ia merebak ke premis lain. Tiada kemalangan jiwa dan punca kejadian masih disiasat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.