Kejayaan PRN Johor pembakar semangat BN cipta kemenangan di Negeri Sembilan: Ahmad Zahid
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi menghadiri pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional Johor di Iskandar Puteri pada 7 Jun 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
- Ahmad Zahid Hamidi menyeru Barisan Nasional (BN) menjadikan kejayaan di Johor sebagai motivasi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
- Majlis pelancaran jentera BN dan pengumuman calon diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban pada 15 Julai, dihadiri kepimpinan utama BN.
- Beliau menekankan pentingnya kerjasama, mengetepikan perbezaan, dan fokus kepada kemenangan parti, bukan hanya soal calon.
- SPR menetapkan penamaan calon pada Sabtu, pengundian awal 28 Julai, dan hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
SEREMBAN: Kejayaan di Johor perlu dijadikan pembakar semangat untuk Barisan Nasional (BN) bekerja lebih kuat dan tersusun bagi melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk itu, seluruh jentera diseru turun ke gelanggang menziarahi setiap rumah dan mendekati seramai mungkin pengundi.
“Kemenangan besar BN di Johor dengan mendapat 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), memperolehi hampir 60 peratus undi popular serta mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah BN di negeri itu, membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang mampu menawarkan kestabilan politik, memacu pembangunan ekonomi dan mentadbir secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jentera BN dan pengumuman calon bagi PRN Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, pada Rabu (15 Jul), yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan gabungan itu.
Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata selain itu, kejayaan di Johor juga dicapai hasil semangat kebersamaan seluruh keluarga besar BN yang bergerak sebagai satu pasukan, saling mempercayai dan saling melengkapi, dan formula yang sama perlu diterapkan pada PRN Negeri Sembilan.
“Tinggalkan segala perbezaan, padamkan segala rasa kecil hati dan satukan seluruh kekuatan di bawah satu panji perjuangan. Apabila kita bersatu, rakyat akan kembali yakin. Apabila rakyat kembali yakin, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik BN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua jentera parti supaya tidak terlalu memikirkan soal calon sehingga mengabaikan tanggungjawab lebih besar iaitu memastikan kemenangan BN.
“Jangan terlalu sibuk memikirkan dapat jadi calon atau tidak sehingga terlupa tugas yang lebih besar iaitu memenangkan BN di tempat masing-masing.
“Siapa pun calon yang diputuskan, siapa jua yang akan jadi calon Menteri Besar, tugas jentera tetap sama. Rapatkan saf, kuatkan gerak kerja, susun penerangan dan yakinkan rakyat,” katanya.
Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut menzahirkan keyakinan BN boleh menambah bilangan kerusi pada PRN berkenaan berbanding 14 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRN ke-15 pada 2023.
Barisan Nasional (BN) memperuntukkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MCA manakala empat kerusi diserahkan kepada MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata formula pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen itu dibuat dengan mengambil kira unjuran potensi kemenangan calon di kawasan masing-masing.
"Tadi saya berjumpa dengan semua bakal calon yang menandatangani aku janji dan juga melakukan baiah dengan saya selaku Pengerusi BN.
“Ini lazim dilakukan setiap PRN ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bakal calon-calon BN di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.