Skip to main content

Dunia

Kejam! Pengetua arah pelajar dibakar selepas buat aduan serangan seksual

Seorang pelajar perempuan disimbah minyak tanah dan dibakar hingga mati di Bangladesh atas arahan pengetua sekolahnya selepas gadis itu membuat aduan polis diserang secara seksual oleh lelaki berkenaan, menurut pihak polis pada Jumaat (19 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Kejam! Pengetua arah pelajar dibakar selepas buat aduan serangan seksual

Tunjuk perasaan di Bangladesh tuntut hentikan keganasan terhadap golongan wanita (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Apr 2019 06:14PM Dikemas Kini : 19 Apr 2019 06:19PM

DHAKA: Seorang pelajar perempuan disimbah minyak tanah dan dibakar hingga mati di Bangladesh atas arahan pengetua sekolahnya selepas gadis itu membuat aduan polis diserang secara seksual oleh lelaki berkenaan, menurut pihak polis pada Jumaat (19 Apr).

Kematian Nusrat Jahan Rafi, 19 tahun, minggu lalu mencetuskan bantahan di merata negara Selatan Asia itu, mendorong Perdana Menteri Sheikh Hasina untuk berikrar bahawa setiap individu yang terlibat dalam pembunuhan itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Allahyarhamha Nusrat diperdaya naik ke bumbung sekolah di mana para penyerangnya menuntut agar beliau menarik balik aduan serangan seksual terhadap pegetua sekolah tersebut.

Apabila beliau enggan lakukan demikian, Nusrat disimbah minyak tanah dan dibakar.

Pada Jumaat polis menyatakan salah seorang daripada 17 yang ditahan berhubung kematiannya menuduh pengetua sekolah tersebut sebagai mengarahkan serangan itu.

Pengetua itu dikatakan "menyuruh mereka memaksa Nusrat untuk menggugurkan kes tersebut atau membunuhnya jika beliau enggan," Superintendan Kanan Polis Mohammad Iqbal yang mengetuai siasatan, memberitahu AFP.

Nusrat membuat aduan polis pada lewat Mac berhubung serangan seksual tersebut dan sebuah rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan ketua stesen polis tempatan memfailkan aduan tersebut namun berkata aduan itu "bukan perkara besar".

Encik Iqbal berkata sekurang-kurangnya lima yang ditahan, termasuk tiga rakan sedarjah Nusrat mengikat beliau dengan selendang sebelum membakarnya.

"Rancangan mereka pada awalnya adalah membuat insiden tersebut kelihatan seperti kes bunuh diri. Namun rancangan mereka gagal apabila Nusrat berjaya melarikan diri ke tingkat bawah selepas selendang yang mengikatnya terbakar dan kaki serta tangannya terlepas dari ikatan," kata beliau.

Allahyarhamha Nusrat meninggal dunia di hospital pada 10 April selepas mengalami kelecuran pada 80 peratus badannya.

Namun sebelum meninggal dunia, beliau merakam video menegaskan tuduhan terhadap pengetua sekolah itu.

"Guru (besar) menyentuh saya, saya akan melawan jenayah ini sehingga nafas terakhir," kata beliau, yang turut mengenal pasti beberapa penyerangnya.

Kes itu mencetuskan kemarahan di Bangladesh. Perdana Menteri Sheikh Hasina berikrar "tidak satupun penjenayah akan terlepas dari tindakan undang-undang."

"Pembunuhan kejam seorang gadis berani yang sedang menuntut keadilan menunjukkan bagaimana pemerintah Bangladesh gagal melindungi mangsa serangan seksual," kata pengarah Asia Selatan Human Rights Watch, Meenakshi Ganguly dalam kenyataannya.

"Kematian Nusrat Jahan Rafi menekankan perlunya pemerintah Bangladesh memandang serius mangsa serangan seksual dan memastikan mereka boleh secara selamat mendapatkan huraian undang-undang dan dilindungi dari sebarang tindak balas," tambah beliau.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita