Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita,' kata Hishammuddin

Anggaran Waktu Membaca:
'Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita,' kata Hishammuddin

Gambar: Instagram/Hishammuddin

KUALA LUMPUR: "Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita."

Demikian luah bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein dalam kemas kini di laman Instagramnya pada Sabtu (28 Jan), seperti yang dipetik Astro Awani.

Kenyataan ringkas, tetapi penuh tersirat itu dipercayai menyusuli tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen Sembrong itu yang digantung selama enam tahun selepas didakwa melanggar disiplin parti, lapor Astro Awani.

Menerusi kemas kini tersebut, Encik Hishammuddin yang merupakan cucu kepada Perdana Menteri ketiga dan pengasas UMNO, Allahyarham Onn Jaafar turut memuat naik gambar memaparkan beliau sedang memujuk seorang individu, dipercayai penyokong UMNO, yang dilihat menangis.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang dipecat daripada UMNO juga meninggalkan komen pada catatan yang dimuat naik oleh Encik Hishammuddin.

Encik Khairy berkata, apa yang berlaku kepada mereka bukan penamat kepada perjuangan selama ini.

"Siapa sangka selama bertahun-tahun yang lalu, ini (pemecatan dan penggantungan) akan menjadi sebahagian daripada perjalanan kita bersama.

"Tetapi, seperti yang saya katakan, itu bukan penamat. Ia jauh daripada penghujung," tulis bekas Ahli Parlimen Rembau itu, lapor Astro Awani.

Semakan Astro AWANI di ruangan komen juga mendapati rata-rata pengguna media sosial menyatakan sokongan penuh kepada Encik Hishammuddin dan berharap beliau terus kuat.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) lalu, Encik Hishammuddin antara 10 nama yang didedahkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'pengkhianat'.

Sekalipun demikian, bekas Menteri Pertahanan itu menolak sekeras-kerasnya tuduhan dilabel sebagai pengkhianat kerana menyokong Encik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata mereka sudahpun mengikut ketetapan parti dengan menarik semula semula sokongan masing-masing, selain berpendirian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat awal adalah bercanggah dengan pendirian parti.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan