Skip to main content

Dunia

"Kejadian itu benar-benar ngeri": Presiden Korea Selatan umum tempoh berkabung susulan tragedi Itaewon

Anggaran Waktu Membaca:
"Kejadian itu benar-benar ngeri": Presiden Korea Selatan umum tempoh berkabung susulan tragedi Itaewon

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol melawat tapak insiden rempuhan di Itaewon, Seoul pada 30 Okt 2022. (Gambar: AFP/Yonhap)

SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad (30 Okt) mengumumkan tempoh berkabung dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang susulan insiden rempuhan ketika perayaan Halloween di Seoul yang mengorbankan 151 orang termasuk 19 warga asing, lapor Agensi Berita Yonhap.

"Kejadian itu benar-benar ngeri. Tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.

"Pemerintah menetapkan tempoh berkabung bermula hari ini sehingga kejadian itu dapat diuruskan sepenuhnya dan hal ehwal pentadbiran negara akan mengutamakan pemulihan dan langkah susulan," kata Presiden Yoon dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden sehari selepas insiden di Itaewon itu yang mengorbankan ramai pengunjung kebanyakannya berusia 20-an tahun.

Encik Yoon merakamkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dan berharap mereka yang cedera agar cepat sembuh.

Pemerintah juga akan membantu proses pengebumian dan menggerakkan perkhidmatan perubatan kecemasan untuk merawat pesakit termasuk menugaskan penjawat awam bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Paling penting ialah menentukan punca kemalangan dan mencegah kejadian sama berulang kembali.

"Kami akan menyiasat secara menyeluruh punca kejadian dan membuat penambahbaikan supaya kemalangan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan," katanya.

Presiden Yoon berkata beliau akan mengarahkan kementerian dalam negeri dan kementerian berkaitan untuk menjalankan semakan terperinci terhadap semua perayaan Halloween dan perayaan tempatan lain bagi memastikan penganjurannya diadakan dengan teratur dan selamat.

Beliau kemudian melawat lokasi kejadian sebelum menuju ke kompleks pemerintah untuk mempengerusikan mesyuarat.

Semua pejabat pemerintah turut diarah mengibarkan bendera separuh tiang.
 
Sementara itu, pemimpin-pemimpin dunia mengucapkan takziah kepada Korea Selatan atas tragedi itu.

“Kami turut berdukacita bersama rakyat Korea Selatan dan semoga mereka yang cedera cepat sembuh,” kata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak di Twitter berkata: "Kami bersama semua rakyat Korea Selatan ketika saat yang sangat menyedihkan ini."

Menerusi mesej yang ditulis dalam bahasa Perancis dan Korea, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata: "Saya mengucapkan takziah kepada warga Seoul dan rakyat Korea Selatan susulan tragedi Itaewon. Perancis bersama anda."

Canselor Jerman Olaf Scholz menerusi Twitter berkata: “Sangat sedih dengan peristiwa tragis menimpa Seoul dan menyifatkan hari yang memilukan buat Korea Selatan.”

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese juga menyampaikan ucapan takziah. 

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell berkata: "Sangat sedih dengan peristiwa mengerikan di Seoul. Perayaan bertukar menjadi tragedi dengan ramai golongan muda menjadi korban. Kami bersama rakyat Korea Selatan pada saat yang sukar ini.”

Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan di Twitter menyuarakan harapannya mereka yang cedera cepat pulih dan AS bersedia memberi sebarang bantuan yang diperlukan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken pula berkata: "Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan yang terlibat serta kepada rakyat Korea Selatan di saat mereka meratapi tragedi ngeri ini."
 

Sumber : Bernama/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita