Kehilangan alat radiografi tiada kaitan dengan pengganasan, tegas Ketua Polis Selangor
Polis Malaysia mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa unit projektor radiografi 'Sentinel Delta 880' yang hilang pada 10 Ogos lalu ada kaitan dengan kegiatan keganasan.
Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa unit projektor radiografi 'Sentinel Delta 880' yang hilang pada 10 Ogos lalu ada kaitan dengan kegiatan keganasan.
Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan sedang bekerjasama dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) untuk mengesan projektor berkenaan serta menangkap individu yang terlibat.
“Menurut LPTA, bahan radioaktif iaitu ‘Iridium (Ir-192) activity 50 curies’ yang terkandung dalam projektor itu berupaya membawa kesan sinaran kepada manusia tetapi bergantung kepada tahap pendedahan dos yang diterima,” kata Encik Mazlan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (21 Ogos).
Beliau berkata jika dos yang diterima kurang atau bersamaan dengan 500 millisieverts (mSv), kesan awal adalah pening, loya serta muntah dan jika dos diterima melebihi 500 mSv, penerima akan mengalami kesan seakan kulit terbakar.
Menurut Encik Mazlan, seseorang itu akan menerima dedahan sekitar 500 mSv jika terdedah kepada aktiviti 50 curies selama kira-kira 120 minit pada jarak satu meter tanpa perisian.
“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian ini secara terus kepada pegawai penyiasat ASP Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau mana-mana balai polis berdekatan,” tambah beliau.
Pada 10 Ogos lalu, alat berkenaan dilaporkan hilang ketika dibawa pulang oleh dua juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara pukul 2.00 pagi hingga 3.00 pagi.
Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna, termasuk oleh pengganas bagi membuat bom.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.