Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kehidupan di Gaza kian beransur pulih selepas konflik 3 hari dengan Israel

Kedai di Carikan Gaza mula dibuka kepada pelanggan dan perkhidmatan pengangkutan awam mula beroperasi sejak Isnin.

Anggaran Waktu Membaca:
Kehidupan di Gaza kian beransur pulih selepas konflik 3 hari dengan Israel

Keadaan di Bandar Gaza. (Gambar: Fatima Shbair/AP)

GAZA: Kehidupan harian di Carikan Gaza beransur pulih selepas konflik antara Jihad Islam Palestin (PIJ) dan tentera Israel selama tiga hari berakhir.

Pada petang Ahad (7 Ogos), PIJ mengumumkan sudah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel, hasil usaha perantara Mesir bagi menamatkan konflik yang mengorbankan 45 rakyat Palestin dan mencederakan 260 yang lain.

Sejak awal pagi Isnin (8 Ogos), kedai di Carikan Gaza dibuka kepada pelanggan dan perkhidmatan pengangkutan awam mula beroperasi.

"Kami tidak suka terlibat dalam ketegangan dengan Israel melainkan kami memperoleh faedah politik, ekonomi atau sosial.

“Adalah lebih baik untuk berunding dan mencapai perjanjian gencatan senjata yang membolehkan kami meneruskan dengan kehidupan," Iyad Abu Kwaik, seorang warga Gaza - pemilik kedai pakaian, memberitahu Xinhua.

Konflik itu mengorbankan nyawa orang awam, memusnahkan bangunan, dan orang ramai sentiasa dibelenggu penderitaan yang tidak berkesudahan, kata lelaki berusia 33 tahun itu, sambil menyeru puak Palestin untuk menyelaraskan usaha untuk menangani krisis rumit di Gaza di sebalik terlibat dengan permusuhan baru dengan Israel.

Penduduk Gaza perlu meneruskan kehidupan harian mereka walaupun berdepan permusuhan, kata peguam yang berpangkalan di Gaza, Tawfiq Abu Ghalwa.

"Kami perlu reda dan mula sekali lagi untuk membina kehidupan di tanah air kami," katanya.

Bagaimanapun, kehidupan tidak lagi sama bagi Qusai Shamalakh, 45, yang kehilangan bangunan empat tingkatnya semasa konflik.

Bapa kepada empat orang anak itu menghabiskan masa berjam-jam memeriksa harta bendanya, mengalihkan serpihan dan mencari barang-barang yang mungkin terselamat daripada serangan Israel.

"Hidup saya bagaikan telah berakhir kerana segala-galanya telah musnah. Saya dan keluarga menjadi gelandangan, dan tiada lagi sekelumit harapan pun," katanya kepada Xinhua.

Konflik terbaru itu menyebabkan kira-kira 18 kediaman musnah sepenuhnya, 71 terjejas, dan 1,675 tidak dapat didiami, menurut Kementerian Kerja Raya dan Perumahan yang dikendalikan Hamas.

Pada awal hari itu, pihak berkuasa Israel membuka semula lintasan Kerem Shalom dan lintasan Erez selepas ditutup selama enam hari.

"Kira-kira 30 trak bahan api memasuki Gaza untuk membekalkan tenaga kepada loji janakuasa, dan trak turut dimuatkan dengan makanan, bijirin, dan bantuan kemanusiaan," kata Bassam Ghaben, pengarah lintasan Kerem Shalom.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan